Rabu, 13 Julai 2022 | 12:49pm

Permohonan injunksi Ahmad Zahid didengar 8 Ogos

KUALA LUMPUR: Permohonan injunksi dipohon Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menghalang Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada terus mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan beliau meminta bantuan bekas perdana menteri itu untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah dihadapinya, akan didengar 8 Ogos ini.

Pendengaran permohonan injunksi interim (sementara) itu yang sepatutnya didengar hari ini, adalah berkaitan kes saman fitnah difailkan Ahmad Zahid terhadap Muhyiddin berhubung kenyataan yang dikeluarkan pada majlis Pentas Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.

Peguam Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi media, berkata pendengaran itu dijadualkan semula kerana Muhyiddin baru memfailkan afidavit tambahan pada 6 Julai lalu.

Baharudeen berkata, mahkamah memerintahkan anak guamnya untuk memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 22 Julai ini.

"Pendengaran permohonan akan didengar pada 8 Ogos ini melalui aplikasi Zoom," katanya selepas prosiding kes yang dijalankan secara atas talian hari ini.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan 4 April lalu, Ahmad Zahid berkata Muhyiddin yang dinamakan selaku defendan mengeluarkan kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis itu di perkarangan Learning Centre Sentuhan Kasih FELDA Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Februari lalu.

Beliau berkata, pada hari sama rakaman video mengenai kenyataan fitnah itu diterbitkan semula secara langsung di akaun YouTube Astro AWANI berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang boleh diakses melalui internet.

Katanya, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan dan meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes berkenaan.

Berita Harian X