Selasa, 12 Julai 2022 | 3:42pm

UM mula tawar menu Keluarga Malaysia RM3.50

KUALA LUMPUR : Universiti Malaya (UM) mula menawarkan pakej menu ekonomi serendah RM3.50 kepada semua pelajarnya menerusi semua kafeteria kolej kediaman yang tersedia di universiti itu mulai hari ini.

Universiti itu dalam satu notis dikeluarkan minggu lalu menyebut, tawaran menu ekonomi berharga RM3.50, terdiri daripada sajian nasi putih, telur dadar dan sayur atau ulaman.

Sementara itu, bagi menu ekonomi berharga RM5 pula, meliputi sajian nasi putih, ayam atau ikan serta sayur atau ulaman.

"Berikutan peningkatan harga barangan yang memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dengan kerjasama pengusaha kafeteria kolej kediaman sudah mengambil inisiatif memperkenalkan menu ekonomi di semua kafeteria berkuat kuasa 12 Julai," menurut notis itu.

Katanya, BHEP prihatin dan cakna terhadap kebajikan pelajar bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup sepanjang pengajian di universiti.

Minggu lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata moratorium bayaran sewa selama enam bulan akan diberikan kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan makanan di dalam kampus institusi pengajian tinggi (IPT) awam mulai bulan ini.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan tanggungan kos sewa itu diserap bagi menurunkan harga makanan yang dijual kepada penuntut memandangkan peningkatan harga barangan turut memberi kesan kepada harga makanan di dalam kampus.

Noraini turut mengumumkan menu makanan berkualiti dengan harga siling RM3.50 setiap hidangan akan diperkenalkan di bawah inisiatif Food Basket Siswa Keluarga Malaysia, selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

BH sebelum ini mendedahkan harga makanan di kedai makan dan kafe dalam kampus universiti di sekitar ibu kota meningkat mendadak sehingga ada mahasiswa terpaksa berjimat cermat bagi memastikan perbelanjaan bulanan mereka tidak terjejas.

Ini berikutan ada peniaga makanan menaikkan harga atas alasan terhimpit dengan kenaikan harga bekalan pelbagai bahan mentah, khususnya ayam, telur, tepung dan minyak masak.

Malah, segelintir mahasiswa juga mengakui terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung perbelanjaan harian dan keadaan itu sedikit sebanyak mengganggu pengajian mereka.

Pelajar, Mohamad Nazrul Rashid, 21 (kiri) menunjukkan menu makanan berharga RM3 manakala Muhammad Aimar Adam Roshidi, 21, menu yang dijual dengan harga RM5 di Kafe Kolej 12 Universiti Malaya, Kuala Lumpur - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Pelajar, Mohamad Nazrul Rashid, 21 (kiri) menunjukkan menu makanan berharga RM3 manakala Muhammad Aimar Adam Roshidi, 21, menu yang dijual dengan harga RM5 di Kafe Kolej 12 Universiti Malaya, Kuala Lumpur - Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim
Berita Harian X