Isnin, 11 Julai 2022 | 6:51pm
Projek ladang hutan di Gunung Inas ditukar dengan tanaman durian. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD
Projek ladang hutan di Gunung Inas ditukar dengan tanaman durian. - Foto hiasan NSTP/DANIAL SAAD

JAS terima permohonan tukar tanaman bulan lalu

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mengeluarkan keputusan permohonan oleh pemaju bagi menukar komponen tanaman daripada pokok getah kepada durian di ladang hutan Gunung Inas, Baling, dalam masa terdekat.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, berkata JAS masih meneliti permohonan penukaran komponen terbabit.

Beliau berkata, JAS baharu menerima permohonan bagi penanaman pokok durian di ladang hutan itu pada bulan lalu.

Katanya, proses itu perlu dilaksanakan bersama Jawatankuasa Penilaian Teknikal kajian impak alam sekitar (EIA), sebelum keputusan dibuat.

"Terkini, kami baharu terima permohonan terbabit pada bulan lepas dan penelitian perlu dilakukan dengan lebih lanjut.

"Sehingga kini kita belum membuat sebarang keputusan lagi (sama ada permohonan itu diluluskan atau sebaliknya).

"Saya fikir dalam masa terdekat ini, keputusan mengenai permohonan itu perlu dibuat," katanya kepada BH, di sini hari ini.

Semalam, JAS mengesahkan laporan EIA yang diluluskan pada Julai 2013 tidak membabitkan tanaman durian.

Sebaliknya, Wan Abdul Latiff dilaporkan berkata, EIA yang diluluskan ketika itu membabitkan pembangunan ladang hutan yang mengandungi tiga komponen, iaitu pembalakan dan silvikultur.

Selain itu, ia membabitkan kelulusan bagi tebang habis bagi tujuan penanaman getah klon balak dan pembangunan hutan terdiri daripada 'mono-crop forest plantation' bagi penghasilan kayu getah dan susu getah.

Pada masa sama, Wan Abdul Latiff, berkata sehingga sebarang keputusan dibuat, tiada penanaman durian sepatutnya dibuat di kawasan itu.

Kaki Gunung Inas musnah selepas kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Isnin minggu lalu. - Foto hiasan NSTP/M HIFZUDDIN IKHSAN
Kaki Gunung Inas musnah selepas kepala air di Kampung Iboi, Kupang, Isnin minggu lalu. - Foto hiasan NSTP/M HIFZUDDIN IKHSAN

Berita Harian X