Isnin, 11 Julai 2022 | 6:22pm
Antara individu yang terkandas di KLIA selepas dipercayai ditipu untuk menunaikan haji oleh sebuah agensi pelancongan. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Antara individu yang terkandas di KLIA selepas dipercayai ditipu untuk menunaikan haji oleh sebuah agensi pelancongan. - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM

'Jangan tolak isu jemaah terkandas kepada MOTAC'

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, perlu proaktif menyelesaikan kemelut isu jemaah haji yang terkandas dan bukannya menolak isu ini kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Presiden Malaysia Tourism Council (MTC), Uzaidi Udanis, berkata mengikut Akta Parlimen, semua urusan haji adalah di bawah kelolaan Tabung Haji dan bukan MOTAC.

"Kenyataan Idris mengatakan isu haji di bawah MOTAC adalah tidak betul dan mengelirukan terutama jemaah haji yang terkandas baru-baru ini.

"MTC berharap pihak Menteri Hal Ehwal Agama memperbetulkan kenyataan itu dan beliau perlu lebih proaktif membantu menyelesaikan isu berkenaan, bukan menolak kepada MOTAC," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Uzaidi berkata, MOTAC di bawah Datuk Seri Nancy Shukri mencuba sedaya-upaya membantu memulihkan industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Justeru, katanya, adalah tidak adil bagi Idris menolak isu haji kepada MOTAC dan akan menjejaskan nama baik MOTAC dalam kalangan orang awam.

Sebelum ini, Idris dilaporkan mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci mengenai isu hampir 400 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Idris memaklumkan isu penipuan umrah dan haji adalah di bawah MOTAC namun Bahagian Hal Ehwal Agama tetap bekerjasama membantu mereka yang dizalimi.

Berita Harian X