Ahad, 10 Julai 2022 | 12:16am
Aliran trafik lebuh raya utara selatan (PLUS) menghala ke utara berjalan lancar ketika tinjauan pada jam 6.15 petang di Terowong Menora menghala ke utara. - Foto NSTP/L MANIMARAN
Aliran trafik lebuh raya utara selatan (PLUS) menghala ke utara berjalan lancar ketika tinjauan pada jam 6.15 petang di Terowong Menora menghala ke utara. - Foto NSTP/L MANIMARAN

Aidiladha: Aliran trafik ke utara, timur lancar

KUALA LUMPUR: Aliran trafik keluar dari Lembah Klang dilaporkan lancar bagi laluan menghala ke utara dan timur tanah air setakat 10.30 malam ini, susulan warga kota telah pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidiladha, esok.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagaimanapun berkata trafik sedikit sesak di kawasan Simpang Ampat-Ayer Keroh Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke selatan.

"Trafik perlahan sepanjang 3.9 kilometer. Sedikit kesesakan sepanjang 300 meter juga dilapor berlaku di Plaza Tol Karak Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menuju ke Kuantan," katanya ketika dihubungi BERNAMA, malam ini.

Keadaan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan di kedua-dua arah kelihatan lancar ketika tinjauan menjelang Hari Raya Aidiladha kira-kira pukul 7 petang tadi. - Foto BERNAMA
Keadaan aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan di kedua-dua arah kelihatan lancar ketika tinjauan menjelang Hari Raya Aidiladha kira-kira pukul 7 petang tadi. - Foto BERNAMA

Sementara itu, pergerakan kenderaan di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), sedikit perlahan di Kompleks Sultan Abu Bakar (CIQ).

LLM juga berkata tiada penambahan ketara bilangan kenderaan setakat ini dan aliran trafik dijangka kekal pada pergerakan sama sehingga tengah malam ini.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sebelum ini melaporkan sebanyak 1.9 juta kenderaan akan berada di lebuh raya semasa cuti perayaan berkenaan bermula kelmarin (7 Julai) hingga 12 Julai ini.

Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan PLUS, Rawang. - Foto Fariz Iswadi Ismail
Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya Utara Selatan PLUS, Rawang. - Foto Fariz Iswadi Ismail

Sementara pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) ANIH Berhad menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu bermula semalam hingga 11 Julai ini.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.– BERNAMA

Berita Harian X