Sabtu, 9 Julai 2022 | 3:30pm

Buat laporan polis, bantu MCMC sekat nombor telefon scammer

CYBERJAYA: Laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan bantu untuk membuat siasatan forensik serta menyekat nombor telefon scammer.

Ketua Bahagian Keselamatan Rangkaian MCMC, Harme Mohamed, berkata laporan itu perlu dibuat meskipun mereka tidak terpedaya dengan penipuan itu, kerana ia membantu MCMC untuk menyekat nombor telefon yang digunakan scammer.

Menerusi sekatan itu katanya, scammer tidak dapat menggunakan nombor telefon berkenaan untuk terus mencari mangsa, sekali gus mengurangkan kes penipuan seumpamanya, hasil laporan orang awam.

"Antara penipuan yang kerap berlaku ketika ini adalah scammer membuat panggilan dan mendakwa mereka kononnya daripada LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau bank dan menuntut sejumlah bayaran tertentu.

"Jika kita dapat panggilan sedemikian, berhenti bercakap, letak telefon dan buat laporan kepada portal aduan MCMC atau pihak berkuasa.

"Jika ada laporan, MCMC boleh terus menyekat nombor telefon yang dilaporkan. Kami tidak akan tahu nombor yang digunakan tanpa laporan awam, jadi tindakan ini amat penting," katanya ketika ditemui di ibu pejabat MCMC di sini, baru-baru ini.

Ketua Bahagian Keselamatan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Harme Mohamed. - Foto NSTP/Azhar Ramli
Ketua Bahagian Keselamatan Rangkaian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Harme Mohamed. - Foto NSTP/Azhar Ramli

Kes individu diperdaya penipuan scam semakin meningkat kebelakangan ini, dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum ini memaklumkan, sejumlah 67,552 kes direkodkan sejak 2017 hingga pertengahan tahun lalu, membabitkan kerugian bernilai RM2.23 bilion.

MCMC sendiri menerima 5,513 aduan membabitkan kes penipuan antara 2020 hingga bulan lalu, dan semua kes itu dirujuk kepada pihak berkaitan seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), SC dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Bagi mengatasi kes penipuan itu, Harme memaklumkan MCMC mewujudkan 12 peraturan sebagai garis panduan bagi membolehkan syarikat telekomunikasi mengenal pasti kaedah menyekat nombor telefon yang digunakan sindiket penipuan.

"Menerusi tindakan ini, kira-kira 1.6 bilion panggilan yang meragukan berjaya disekat antara 2018 hingga tahun ini," katanya.

Selain penipuan menerusi panggilan telefon, Harme memaklumkan beberapa taktik lain yang kerap digunakan scammer di Malaysia termasuklah love scam, pintasan e-mel dan penggodaman menerusi aplikasi telefon pintar berformat APK (Android Application Package).

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai sentiasa membaca amaran dan peringatan mengenai taktik scam yang dipaparkan di portal perbankan, laman.

MCMC kesan penipuan SMS menyatakan bantuan kewangan dikreditkan ke e-dompet menggunakan nama MySejahtera.
MCMC kesan penipuan SMS menyatakan bantuan kewangan dikreditkan ke e-dompet menggunakan nama MySejahtera.

Sebenarnya.my dan mesej keseLangkah tingkat kesedaran, perluas maklumat elak kes penipuan daran oleh MCMC, serta menyebarkannya kepada orang ramai.

Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya jangan berkongsi maklumat peribadi dan aktiviti harian secara berlebihan di media sosial, kerana scammer akan menggunakannya untuk meyakinkan mangsa ketika penipuan berlaku.

Namun sekiranya nasi menjadi bubur dan anda telah menjadi mangsa scam, sila tampil dan laporkan kepada pihak polis supaya tindakan segera dapat dilaksanakan atau merujuk terus kepada CCID di talian 03-26101159 atau 03-26101599.

"Bagi scam APK, pengguna perlu berhati-hati dan hanya memuat turun aplikasi daripada platform rasmi Google, Samsung, Huawei dan seumpamanya, bukan daripada laman sesawang," katanya.

Berita Harian X