Sabtu, 9 Julai 2022 | 12:35pm
Orang ramai membeli daging di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Orang ramai membeli daging di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

Pengguna berjimat, kurang beli daging, lemang

SEREMBAN: Biarpun sambutan Aidiladha tidak semeriah Aidilfitri, kemeriahan aktiviti 'mantai' tetap dirasakan dalam kalangan umat Islam di Negeri Sembilan dengan tradisi melapah daging dan membuat lemang, sehari sebelum hari raya sememangnya begitu sinonim dengan mereka.

Tinjauan di daerah ini mendapati mantai berlangsung secara sederhana dan terdapat aktiviti menjual daging ternakan, khususnya lembu serta kerbau di tempat tumpuan ramai dan tepi jalan, begitu juga lemang untuk memenuhi tempahan atau hidangan keluarga.

Peniaga daging, Norhafidah Baharudin, 51, berkata sambutan tidak sehebat Aidilfitri dan kali ini, dia hanya menyediakan tujuh lembu bagi keperluan pengguna berbanding 12 ekor pada Aidilfitri lalu.

"Pembekal sudah menaikkan harga RM2 setiap kilogram daging. Jadi, kos kami juga meningkat. Saya terpaksa keluar modal lebih, namun harga jualan saya kekal seperti sebelum ini supaya pelanggan selesa dengan harga biasa, walaupun margin keuntungan saya berkurangan.

"Rata-rata yang membeli daging dari saya pelanggan lama," katanya ketika ditemui di tempat letak kereta Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, hari ini dan menjual daging biasa pada harga RM40 kg, batang pinang RM42 kg dan tulang RM32 kg.

Menurutnya, sambutan terhadap jualan daging pada hari mantai Aidiladha berkurangan kerana bilangan pembeli terhad, tambahan pula ada kalangan mereka yang menunggu pemberian daging ibadah korban di kawasan masing-masing.

Dia yang sudah berniaga lebih 10 tahun, berkata kebelakangan ini bekalan daging berkurangan dan ada ketikanya terpaksa mendapatkannya daripada pembekal di negeri lain, untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Seorang lagi peniaga, Mohd Safawi Abdullah, 28, berkata dia juga mengekalkan harga daging pada kadar RM40 kg walaupun berlaku kenaikan di peringkat pembekal kerana rata-rata pembeli ialah pelanggan biasa.

"Saya tidak tergamak mennaikkan harga kerana ramai pelanggan adalah pelanggan biasa. Biarpun margin keuntungan sedikit berkurangan, tapi masih boleh menampung kos operasi termasuk gaji pekerja," katanya.

Peniaga lemang dan rendang di tapak bekas Kem Paroi, Yurnida Yurnalis, 48, juga mengakui tempahan lemang berkurangan iaitu dalam 2,500 batang, tidak sebanyak pada Aidilfitri yang boleh mencecah sehingga 6,000 batang.

"Kebanyakan yang membeli lemang sudah menempah lebih awal. Saya pun tidak berani buat lebih banyak kerana ramai pengguna mula berjimat, berikutan kos sara hidup tinggi ketika ini.

"Saya juga tidak menaikkan harga walaupun harga beras pulut meningkat lebih 15 peratus," katanya.

Beliau yang mengusahakan lemang itu bersama beberapa anaknya sejak lebih 15 tahun, berkata lemang dijual pada harga RM14, RM16 dan RM18 sebatang mengikut saiz.

"Untuk kepuasan pelanggan, saya cuba kekalkan harga walaupun pengusaha lain ada yang jual sehingga RM20 sebatang," katanya yang dibantu dua anak lelaki, Iqmal Izzani Abu Bakar, 25, dan Mohd Fairul Asraf, 19.

Mohd Fairul Asraf membakar lemang untuk jualan menjelang Aidiladha di tapak bekas Kem Paroi, Seremban, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL
Mohd Fairul Asraf membakar lemang untuk jualan menjelang Aidiladha di tapak bekas Kem Paroi, Seremban, hari ini. - NSTP/MOHD AMIN JALIL

Berita Harian X