Jumaat, 8 Julai 2022 | 5:16pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Kompaun terhadap individu tidak pakai pelitup muka jika kes naik

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan untuk mengenakan kompaun kepada orang ramai yang tidak memakai pelitup muka di kawasan tertutup jika kes jangkitan COVID-19 meningkat dengan mendadak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata KKM tidak menolak kemungkinan untuk menguatkuasakan semula peraturan itu mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Katanya, sejak 17 April lalu KKM sudah tidak lagi mengeluarkan notis kompaun selaras fasa peralihan ke endemik.

"Saya lihat dari segi pematuhan kepada pemakaian pelitup muka, terutama di kawasan tertutup sudah mula agak longgar.

"Banyak keadaan di mana orang ramai mula tidak memakainya di kawasan tertutup. Jika kes terus meningkat dengan kadar mendadak, KKM tidak menolak kemungkinan untuk menguatkuasakan semula Akta 343 terutama bagi mereka yang enggan memakai pelitup muka di kawasan tertutup," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Khairy menjelaskan, ketika ini, hanya KKM yang boleh mengeluarkan notis kompaun berhubung ketidakpatuhan pemakaian pelitup muka selepas banyak agensi digugurkan daripada penguatkuasaan Akta 342 bagi melaksanakan tugas hakiki mereka.

"Sekarang, sumber kuat kuasa terbatas kerana hanya KKM (boleh mengeluarkan notis). Saya harap tidak perlu untuk kita sampai ke tahap itu," katanya.

Berita Harian X