Jumaat, 8 Julai 2022 | 2:32pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Penjawat jawatan dalam UMNO bukan 'caretaker'

KUALA LUMPUR: Penjawat jawatan di semua peringkat UMNO kini bukan `caretaker' atau penjaga, sebaliknya disahkan jawatan untuk berkhidmat bagi 18 bulan sehingga 29 Disember ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO menyatakan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) berhak menangguhkan pemilihan pada peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan.

Katanya, penangguhan itu tidak boleh lebih daripada 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya ia diadakan.

"MKT sudah pun membuat keputusan menangguhkan pemilihan selama 18 bulan. Penangguhan itu disahkan melalui surat kelulusan daripada ROS pada 30 Ogos 2021. Ini bermakna penjawat jawatan penggal ini dilanjutkan hingga 29 Disember 2022.

"Ketika pelanjutan tempoh itu, tiada istilah `caretaker' dalam Perlembagaan UMNO. Dalam pertemuan saya dengan pihak ROS, mereka mengesahkan bahawa penjawat jawatan UMNO sekarang bukan berstatus 'caretaker'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu antara lain bagi menjawab tulisan yang berlegar di media sosial yang menyatakan penjawat jawatan UMNO kini adalah `caretaker' atau `penjaga'.

Ahmad berkata, salah faham mengenai status penjawat jawatan dalam UMNO itu menyebabkan beberapa ulasan yang salah dibuat yang kononnya UMNO tidak boleh membuat sebarang keputusan dasar.

Katanya, ROS mengesahkan, UMNO berhak membuat apa juga keputusan bagi kepentingan parti dalam tempoh penangguhan pemilihan, 18 bulan itu.

"Termaktub dalam Perlembagaan UMNO fasal 10.15, UMNO boleh mengambil sebarang langkah selain daripada perkara yang disebut bagi kesempurnaan perjalanan parti'," katanya.

Untuk rekod, UMNO kini mempunyai 56 ahli MKT, 191 bahagian dan 21,156 cawangan di seluruh negara.

Beliau menjelaskan sepanjang pelanjutan tempoh penangguhan itu, UMNO antara lain terbabit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November 2021; PRN Johor pada 12 Mac 2022 dan mengadakan Perhimpunan Agung UMNO pada 16 hingga 19 Mac 2021 serta mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 15 Mei lalu.

"Semua pembabitan UMNO itu adalah sah dari segi Perlembagaan UMNO itu sendiri," katanya.

Mengulas pindaan Perlembagaan UMNO bagi penangguhan pemilihan parti pula, katanya, UMNO masih menunggu kelulusan daripada ROS.

"Segala dokumen tambahan telah diberi. Tiada sebarang persoalan dan dokumen lain yang ROS perlukan. Perkara ini saya tanyakan sendiri kepada mereka.

"Adalah diyakini UMNO telah melaksanakan pindaan itu mengikut prosedur dan proses yang ditetapkan," katanya.

Beliau menjelaskan pindaan kepada Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO yang diputuskan oleh Perhimpunan Agung Khas UMNO juga adalah teratur mengikut Fasal 30 Perlembagaan UMNO.

"Kami percaya dan berharap tiada sebarang halangan untuk ROS untuk meluluskan pindaan ini. Kelulusannya juga adalah sepertimana kelulusan diberikan oleh ROS kepada parti MCA berhubung pindaan perlembagaannya yang membawa maksud sama / setaraf dengan pindaan Perlembagaan UMNO ini," katanya.

Berita Harian X