Jumaat, 8 Julai 2022 | 11:15am
Pelajar Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah menikmati makanan tengah hari yang dijual di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad
Pelajar Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah menikmati makanan tengah hari yang dijual di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

'Mustahil jual satu hidangan berkualiti RM3.50 di kampus'

KUALA LUMPUR: Inisiatif penetapan kadar siling RM3.50 bagi satu hidangan berkualiti di kedai makan atau kafe di kampus universiti dilihat belum dilaksanakan sejak diumumkan lima hari lalu.

Ia berikutan pengusaha kafe dan kedai makanan dalam kampus mendakwa inisiatif terbabit mustahil dilaksanakan, selain peniaga berdepan risiko kerugian dalam margin yang besar.

Tinjauan BH di beberapa universiti sekitar ibu kota mendapati, mahasiswa masih membayar antara RM5 hingga RM6 bagi sepinggan nasi berlauk ayam dan sayur, tidak termasuk minuman.

Malah, ada yang mendakwa hanya mampu makan nasi bersama telur goreng atau nasi goreng bagi juadah RM3.50 sepinggan.

Pelajar jurusan ekonomi Universiti Malaya (UM), Muhammad Iman Khidir, 20, mengakui harga hidangan lengkap di kafe dan kedai makan di kampus masih melebihi RM5 sepinggan.

"Saya belum jumpa kedai makan atau kafe menjual hidangan lengkap RM3.50, paling murah pun set nasi ayam penyet antara RM5 atau RM6.

"Saya pernah membayar RM4 bagi sepinggan nasi bersama telur goreng dan kuah, walaupun membeli hampir jam 4 petang," katanya kepada BH, semalam.

Pengusaha kafe di kolej kediaman di UM, Zanifah Md Nor, menyifatkan harga siling itu hampir mustahil dilaksanakan, selain menjelaskan kadar semasa berpandukan senarai ditetapkan pada 2003.

Beliau mendakwa akan rugi RM2.50 jika hidangan nasi bersama ayam dan sayur dijual RM3.50 sepinggan.

"Kita rugi RM2,500 sehari jika 1,000 hidangan sama dijual RM3.50 sepinggan atau kerugian RM75,000 sebulan.

"Kiraan itu belum mengambil kos upah pekerja, selain sewaan tapak dan kos operasi lain.

"Memang kerajaan umumkan moratorium sewa premis, namun ia masih samar, sama ada peniaga perlu membayar kemudian atau pengecualian sepenuhnya," katanya.

Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) disaran mengeluarkan contoh menu hidangan harga siling RM3.50 supaya pelajar institusi pengajian tinggi mendapat makanan berkhasiat.

Pelajar IPT turut mahu insentif Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia yang diperkenalkan benar-benar menepati golongan sasar, terutama mahasiswa kalangan keluarga M40 serta B40.

Pelajar Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM, Saiyidah Athirah Zamizi, berkata sebelum ini ada pelajar makan sekali sehari, malah bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian.

"Bagi contoh yang menjadi penanda aras operator makanan di kampus, contohnya nasi kosong bersama satu jenis lauk dan sayur supaya pelajar mendapat makanan selayaknya, bukan makan untuk kenyang namun tidak berkhasiat.

"Kalau ikutkan keadaan, RM3.50 selalunya nasi kosong bersama lauk telur," katanya, semalam.

Pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kimberly Dickson, berkata bakul makanan mampu meringankan beban mahasiswa terutama keluarga B40 dan M40.

"Kerap pantau harga dan kuantiti makanan di kafe setiap kampus bagi memastikan harga sesuai dengan kemampuan pelajar, selain menambah bantuan mahasiswa bagi mengurangkan beban," katanya.

Pelajar Akademi Pengajian Melayu UM, Ainur Ain Najiha Mohd Pakri, berkata kos pengajian tinggi menyebabkan pelajar guna pinjaman untuk melangsaikan yuran dengan bakinya tidak lebih RM400.

"Mampukah menampung kos makan sepanjang satu semester dengan jumlah itu," katanya.

Berita Harian X