Rabu, 6 Julai 2022 | 8:55pm
 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Kalwant Singh gagal rayuan, jalani hukuman mati esok

SINGAPURA: Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menolak rayuan terakhir warga Malaysia, Kalwant Singh, sekali gus menyebabkan beliau akan menjalani hukuman gantung sampai mati seperti dijadualkan esok.

Perkara itu disahkan peguamnya, Too Xing Ji dari BMS Law LLC yang memaklumkan mengenai keputusan mahkamah itu hari ini.

Kalwant, 32, dijatuhkan hukuman mati pada 1 Jun 2016 atas kesalahan mengedar dadah.

Xing Ji berkata, sabitan dan hukuman dikekalkan Mahkamah Rayuan pada tahun sama dan berdasarkan keputusan hari ini, pelaksanaan hukuman akan dijalankan mengikut jadual.

Kalwant yang berasal dari Cameron Highlands, Pahang, ditahan di Singapura pada 24 Oktober 2013 dan disabitkan kesalahan memiliki 60.15 gram diamorphine serta mengedar 120.9 gram dadah jenis itu.

Kalwant memfailkan usul kepada Mahkamah Rayuan bagi penangguhan pelaksanaan hukuman dan semakan terhadap sabitan serta hukumannya.

Permohonan penangguhan hukumannya didengar Ketua Hakim, Sundaresh Menon; Hakim Andrew Phang Boon Leong dan Hakim Tay Yong Kwang melalui platform Zoom.

Xing Ji berkata, walaupun perbicaraan dijalankan secara maya, mahkamah penuh sesak dan ahli keluarga Kalwant turut hadir.

Sebelum ini, pada 27 April lalu, seorang lagi warga Malaysia, Nagaenthran K Dharmalingam turut menjalani hukuman mati kerana mengedar heroin.– BERNAMA

Berita Harian X