Rabu, 6 Julai 2022 | 8:17pm
Emilia (tengah) hadir ke Mahkamah Majistret hari ini bagi perbicaraan kes dihadapi bekas suaminya atas dakwaan mencederakannya. - Foto Bernama
Emilia (tengah) hadir ke Mahkamah Majistret hari ini bagi perbicaraan kes dihadapi bekas suaminya atas dakwaan mencederakannya. - Foto Bernama

'Jangan guna MC untuk tak hadir prosiding'

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini memberi amaran kepada bekas isteri Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal, Emilia Hanafi supaya tidak menggunakan sijil cuti sakit (MC) sebagai 'tiket' untuk tidak hadir ke mahkamah dalam perbicaraan kes dihadapi ahli perniagaan terkenal itu atas dakwaan mencederakannya.

Majistret Nadia Othman juga membatalkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Emilia, 43, selepas berpuas hati dengan penjelasan wanita itu berhubung ketidakhadirannya beberapa kali dalam perbicaraan kes ditetapkan sebelum ini.

"Waran tangkap dibatalkan dan saya memberi amaran kepada pengadu (Emilia) supaya hadir pada tarikh akan datang. Saya sentiasa ingatkan kehadiran semua pihak supaya mengikut prosedur.

"Sijil cuti sakit bukan satu tiket untuk tidak hadir ke mahkamah. Sekiranya perlu, seperti yang saya minta pada Emilia tadi, kemukakan laporan perubatan untuk mengesahkan sakit dan ketidakhadiran ke mahkamah. Perbicaraan akan diteruskan pada 15 Julai ini," katanya pada sebutan kes berhubung waran tangkap terhadap Emilia.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Aishah Ahmad Zakiuddin memohon mahkamah membatalkan waran tangkap dikeluarkan pada 15 Jun lalu ke atas Emilia berdasarkan penjelasan wanita itu.

Sementara itu, Emilia yang memberi keterangan dari kandang saksi berkata, beliau tidak hadir pada perbicaraan kes itu pada 14 dan 15 Disember 2021, 28 Februari, 4 Mac, 20 April, 20 Mei dan 15 Jun (2022) berikutan keadaan kesihatannya tidak memuaskan, selain tertekan apabila waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Syariah berhubung kes lain.

"Apabila tertekan, saya sakit. Saya juga mengalami sakit perut, muntah dan cirit-birit, kemudian saya dapatkan sijil cuti sakit dari klinik kesihatan kerajaan di Kelana Jaya pada 14 Disember dan keesokannya (15 Disember 2021) di Klinik Kesihatan Kota Damansara atas masalah kesihatan yang sama.

"Pada 28 Februari lalu, saya menghantar anak ke sekolah di Cheras dan saya mengalami demam selsema, kemudian terus ke klinik berdekatan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan, manakala 4 Mac pula, saya didapati kontak rapat COVID-19," katanya.

Emilia berkata, pada 20 April lalu, beliau memberitahu mahkamah giginya berlubang, bernanah dan terkena jangkitan serta beliau mendapatkan rawatan di klinik pergigian di UTC Shah Alam dan dinasihatkan membuat rawatan akar atau mencabut gigi kerana keadaan giginya tidak dapat diselamatkan.

"Pada 20 Mei, saya kemudian mendapatkan pandangan kedua daripada Klinik Kesihatan Tanglin. Tetapi, saya memilih buat rawatan di Shah Alam kerana di sana rawatannya lebih baik dan saya mendapatkan surat rujukan doktor, manakala pada 15 Jun lalu, saya pergi UTC Shah Alam dan diberitahu tidak perlu cabut gigi dan bertahan.

"Saya pergi berjumpa pakar di Shah Alam dan dapatkan rawatan tetapi gigi masih bengkak. Jadi, apabila datang ke mahkamah saya rasa tertekan. Tetapi sekarang saya rasa lega," katanya.

Selepas mendengar penjelasan Emilia, Nadia meminta wanita itu mengesahkan beliau tidak mempunyai penyakit kronik dan Emilia menjawab: "Tiada."

Nadia berkata, beliau berpuas hati dengan penjelasan Emilia dan mengingatkan semua pihak termasuk tertuduh untuk hadir ke mahkamah demi kelancaran kes.

"Saya tidak mahu kes ini ditangguhkan. Kalau mengikut rekod saya, ada 38 sebutan untuk kes ini saja. Tambahan pula peguam, Timbalan Pendakwa Raya dan saksi hadir ke mahkamah, malah mahkamah bersedia mendengar kes ini.

"Ini kes anda, mahkamah bersedia, jadi awak perlu hadir. Saya tidak mahu terima penjelasan yang bukan-bukan selepas ini," katanya.

SM Faisal selaku orang kena tuduh (OKT) yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader hadir, manakala dua peguam pemerhati iaitu Datuk Khairul Anwar Rahmat dan Nazri Yahya hadir bagi pihak Emilia.

Mengikut pertuduhan, SM Faisal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Emilia yang juga isterinya (ketika kejadian) di sebuah rumah di Desa Sri Hartamas, Brickfields, di sini antara jam 12.30 tengah hari dan jam 4.30 petang mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 27 Jun lalu, Emilia dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara tujuh hari kerana gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah di sini mengenai tarikh lawatan tiga anaknya dan wanita itu dibebaskan dari penjara pada 1 Julai lalu. – BERNAMA

Berita Harian X