KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan melaksanakan empat projek bernilai lebih RM200 juta dengan segera susulan tragedi banjir serta kepala air di Baling, Kedah.
Menteri, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata projek berkenaan ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 membabitkan kos RM15 juta dan RTB Baling Fasa 2 (RM160 juta).
"Selain itu, pembinaan struktur sabo bagi mengurangkan risiko aliran debris dengan kos RM22 juta dan projek kecil yang perlu disegerakan seperti mendalamkan sungai, membina benteng sungai, pembaikan jambatan serta denai sungai yang dijangka bernilai RM6 juta," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tragedi banjir dan kepala air di Lata Celak, Kampung Iboi, Kupang di Baling, kelmarin mengorbankan tiga sekeluarga termasuk seorang ibu hamil empat bulan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, banjir kilat berlaku di beberapa kawasan di Baling, susulan hujan berterusan selama tiga jam bermula jam 3 petang kelmarin.
Bacaan aras hujan di stesen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) FELDA Teloi Kanan ialah 64 milimeter (mm) manakala stesen Kampung Sedim dan Kampung Iboi pula melebihi 40mm.
"Bagaimanapun, data satelit Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan taburan hujan lebih sekali ganda di Gunung Inas, iaitu huluan Sungai Tiak dan Sungai Kupang.
"Hujan lebat itu melebihi keupayaan menampung air di huluan sehingga berlaku banjir kilat," katanya.
Susulan itu, beliau berkata, Ketua Setiausaha KASA bersama Ketua Pengarah JPS diarahkan melawat lokasi kejadian semalam untuk menilai kesan banjir dan merangka pelan mitigasi.
"Perlu juga dimaklumkan bahawa kawasan hulu bencana banjir terdapat aktiviti guna tanah di mana hujan lebat sehingga berlaku aliran debris atau kepala air.
"Kedalaman air banjir kilat itu yang direkodkan pada jam 6 petang adalah 0.2 hingga 3 meter di Kampung Iboi, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Bukit Hangus, Kampung Pisang dan Pekan Kupang (banjir hanya berlaku selama antara dua hingga enam jam)," katanya.