KUALA LUMPUR: Santubong adalah sebuah petempatan di Sarawak yang kaya dengan keindahan alam semulajadi.
Ia juga popular kerana kisah lagenda terkenal di Sarawak, mengisahkan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang dikaitkan dengan Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang dan diabadikan dalam sebuah lagu rakyat.
Santubong yang terletak hanya kira-kira 30 minit dari Kuching juga mempunyai bukti bahawa ia adalah 'negeri' Melayu kedua tertua di dunia selepas Kedah.
Pakar Sejarah Sarawak, Datu Dr Sanib Said, berkata Santubong dipercayai sudah wujud sejak 300 Era Sebelum Sekarang (ESS).
Beliau menjelaskan, tahi besi dan Pasu Malaya menjadi antara penemuan terpenting membuktikan sejarah berkenaan.
"Sebelum ini juga, Santubong yang kaya dengan keindahan alam semulajadi, adalah sebuah negeri sebelum Sarawak dijadikan negeri.
"Santubong juga pernah menjadi tapak arkeologi terbesar di Asia Tenggara namun kini ia semakin dilupai.
"Bagaimanapun, tahi besi masih boleh ditemui di Santubong sehingga kini, manakala ribuan serpihan tembikar serta Pasu Malaya, kini ditempatkan di Jabatan Muzium Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Wacana Manuskrip Melayu Bertemakan Melayu-Jawi di Sarawak: Menobatkan Santubong Sebagai Negeri Melayu Kedua Tertua Di Dunia di Wisma Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarah PNM, Salasiah Abdul Wahab, hari ini.
Sanib yang juga Pengurus Besar Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS), berkata penemuan itu juga sudah dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah Tahun Lima dan Tingkatan Dua.
Namun, beliau amat berharap penemuan itu dapat disenaraikan dalam Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
"Saya juga berharap Santubong dapat menjadi pusat pelancongan domestik yang baharu di Sarawak kerana lokasinya yang berdekatan dengan ibu negeri serta mempunyai pelbagai kemudahan yang lengkap.
"Selain itu orang ramai boleh melihat sendiri tahi besi yang masih terdapat di kawasan berkenaan serta penemuan lain seperti berhala," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sanip mengakui, ketika ini pelajar semakin kurang berminat untuk membaca manuskrip berbanding ketika zaman pembelajarannya yang mana membaca manuskrip menjadi salah satu tugasan di dalam kelas.
Justeru, beliau amat berharap pihak yang berkenaan dapat melakukan sesuatu untuk menarik minat pelajar membaca manuskrip.
"Membaca manuskrip juga dapat menemui penemuan-pememuan baharu yang berguna untuk generasi akan datang," katanya menegaskan usaha PNM ketika ini seperti penganjuran wacana berkenaan juga menjadi salah satu usaha untuk menarik minat pelajar kepada naskhah manuskrip.
Sementara itu, PNM dalam kenyataan berkata, wacana hari ini bertujuan mempromosikan naskhah manuskrip Melayu yang tersimpan dalam koleksi perpustakaan berkenaan dan mendedahkan kepada masyarakat kepentingan ilmu yang terakam dalam manuskrip Melayu itu sendiri.
"Ia juga bertujuan memperlihatkan pengaruh dan asimilasi budaya serta citra. PNM berharap program ini dapat menggalakkan masyarakat menghargai manuskrip Melayu sebagai sumber atau bahan rujukan utama dan sahih, baik dalam hal ehwal agama Islam, adat, budaya, sosioekonomi dan politik," katanya.
Sehingga kini, PNM menyimpan sebanyak 5,161 naskhah koleksi manuskrip Melayu.