Selasa, 5 Julai 2022 | 4:21pm
Pelajar UniMAP secara sukarela menyediakan makanan kepada pelajar lain. - Foto UniMAP
Pelajar UniMAP secara sukarela menyediakan makanan kepada pelajar lain. - Foto UniMAP

UniMAP bantu lebih 21,000 pelajar

ARAU: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meneruskan Insentif Khas Kasih UniMAP, bagi mengurangkan beban kenaikan kos makanan dalam kalangan pelajar.

Naib Canselornya, Prof Dr Zaliman Sauli, berkata bantuan yang dimulakan pada Julai 2020 itu berjaya menjaga kebajikan pelajar, khususnya ketika menghadapi pandemik COVID-19.

Beliau berkata, RM5.6 juta diperuntuk bagi bantuan berkenaan membabitkan 21,503 orang pelajar terpilih.

Katanya, antara bantuan Insentif Khas Kasih UniMAP ialah Menu Keluarga Malaysia dengan peruntukan RM3.50 untuk hidangan makan tengah hari dan makan malam.

"Selain itu, ada Food Bank bagi makanan harian dan kering serta bantuan kewangan tunai kepada pelajar yang terputus perbelanjaan.

"UniMAP juga memberikan kupon makanan percuma pada tempoh peperiksaan, menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar melalui Skim Tabung Dedikasi Diri, menyediakan Insentif Keusahawanan serta Insentif Inovasi untuk Projek Tahun Akhir Pelajar.

"Kami memberi pengurangan harga sewa premis perniagaan, khususnya kepada peniaga makanan di dalam kampus," katanya hari ini.

Sementara itu, Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan, berkata pelajar UniMAP tidak perlu melakukan protes jalanan bagi menangani kenaikan harga makanan.

"Kami mengambil pendekatan berbincang dengan pengurusan universiti bagi menghadapi isu ini.

"Harga makanan dalam universiti masih rendah dan terkawal," katanya.

Berita Harian X