Selasa, 5 Julai 2022 | 2:27pm

UPSI sedia juadah 'lunch, dinner' RM5

TANJUNG MALIM: Selepas menyediakan sarapan RM3.50, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini mengambil inisiatif baharu membantu pelajar dengan mengadakan menu makanan tengah hari dan malam yang berharga cuma RM5 sahaja.

Menu nasi lauk ayam dan sedikit kuah itu boleh didapati di cafe kampus baharu dan lama universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin, berkata inisiatif itu dilakukan selepas mereka mengadakan perbincangan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta peniaga cafe ekoran rungutan daripada pelajar berhubung harga makanan yang meningkat.

"Kita ambil maklum mengenai harga makanan dalam kampus yang mahal ketika ini. Disebabkan itu pada mulanya kita memulakan harga RM3.50 untuk pelajar bersarapan dan kemudiannya meneruskan harga RM5 untuk makan tengah hari dan malam pula.

"Kita tidak mahu pelajar kita mengambil sarapan sahaja sebaliknya mahu perut mereka ini sentiasa dialas dengan makanan yang bukan sahaja mengenyangkan tetapi pada harga berpatutan," katanya BH, ketika ditemui hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif itu turut mendapat kerjasama peniaga kafe yang rata-ratanya bersimpati dengan nasib pelajar.

"Sebenarnya peniaga ini amat terkesan dan dihimpit dengan kenaikan harga makanan tetapi hasil perbincangan dengan pelajar, mereka bersetuju untuk menjadikan beberapa menu yang berharga RM5. Biasanya menu itu adalah berasaskan ayam dan kuah," katanya.

Norkhalid menjelaskan, situasi pelajar UPSI yang terpaksa tidur dengan perut kosong tidak akan berlaku kerana pelbagai inisiatif yang dianjurkan oleh pihak universiti.

"Kita sediakan Food Bank di kampus-kampus dan ia adalah sumbangan daripada kakitangan UPSI sendiri sejak tiga tahun lalu. Kami bersetuju untuk memotong gaji pada setiap bulan dan meletakkan dalam tabung UPSI yang kemudiannya akan digunakan untuk tujuan ini," katanya.

Dr Norkhalid bersama peniaga, Ade Indriani menunjukkan hidangan RM5 ketika tinjauan harga makanan di kafe Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Dr Norkhalid bersama peniaga, Ade Indriani menunjukkan hidangan RM5 ketika tinjauan harga makanan di kafe Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah

Sementara itu, peniaga cafe, Ade Indriani, 48, menjelaskan beliau bersimpati dengan nasib pelajar universiti yang terpaksa menerima tempias kenaikan harga barangan.

"Sebenarnya untuk cakap kami untung dalam menyediakan menu RM5 adalah sukar kerana harga barangan yang sangat mencanak naik. Tetapi kami buat juga menu ini sekurang-kurangnya ia boleh mengenyangkan mereka.

"Menu yang disediakan adalah nasi, kuah dan lauk ayam. Sekiranya mereka mahu sayur, mungkin boleh ambil lauk atau nasi yang kurang tetapi biasanya bagi pelajar lelaki mereka makan nasi banyak malah kami juga sukar untuk sediakan menu seperti ikan kerana harga yang tidak menentu," katanya.

Dr Norkhalid bersama peniaga, Ade Indriani menunjukkan hidangan RM5 ketika tinjauan harga makanan di kafe Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Dr Norkhalid bersama peniaga, Ade Indriani menunjukkan hidangan RM5 ketika tinjauan harga makanan di kafe Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI). - Foto NSTP/Asyraf Hamzah
Berita Harian X