Selasa, 5 Julai 2022 | 2:23pm

'Dua kali digulung arus deras kepala air'

BALING: "Dua kali saya digulung arus deras kepala air macam ombak," kata Norazlina Mohd Khairi, 30.

Norazlina berkata, ketika itu dia sangkakan ajalnya sudah tiba namun bersyukur kerana diselamatkan penduduk kampung selepas berpaut selama dua jam setengah pada sebatang pokok pisang.

Katanya, dia yang terdengar arus deras dari sungai berhampiran rumahnya segera menyelamatkan dua anak, Nur Ain Mohd Zaidi, 7, dan Afif Azran, 2, ke rumah berhampiran.

"Ketika itu saya dan suami, Mohd Zaidi Saad, 39, cuba menyelamatkan empat motosikal dan kereta Perodua Kancil namun gagal.

Norazlina Mohd Khairi.
Norazlina Mohd Khairi.

"Arus kepala air itu terlalu deras dan saya sempat berpegangan tangan dengan suami, namun terlepas dari genggaman menyebabkan saya dihanyutkan dalam gulungan air.

"Saya terperangkap pada pokok buluh sebelum dihanyutkan ke celahan pokok pisang. Saya hanya berdoa semoga diselamatkan," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, di sini, hari ini.

Norazlina berkata, suaminya berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Katanya, sehingga kini dia masih trauma dengan kejadian itu dan berharap ia tidak akan berlaku lagi.

Antara rumah penduduk yang rosak dalam kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Antara rumah penduduk yang rosak dalam kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

Kesan kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad
Kesan kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi. - NSTP/Danial Saad

"Suami juga trauma kerana dia cuba nak selamatkan saya dengan berenang menghampiri saya tetapi gagal apabila dihanyutkan arus deras.

"Puas saya menjerit, berdoa dan beristighfar ketika itu supaya selamat daripada kejadian berkenaan namun bersyukur kerana masih bernyawa," katanya.

Beliau berkata, kejadian itu paling buruk dialaminya walaupun banjir kilat kerap berlaku di kawasan itu sebelum ini.

Foto fail 5 Julai lalu merakam penduduk melintasi Sungai Kupang dekat Kampung Iboi selepas kejadian banjir lumpur dan kepala air. - NSTP/DANIAL SAAD
Foto fail 5 Julai lalu merakam penduduk melintasi Sungai Kupang dekat Kampung Iboi selepas kejadian banjir lumpur dan kepala air. - NSTP/DANIAL SAAD

Kesan kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi. - Foto NSTP/Danial Saad
Kesan kejadian banjir lumpur dan kepala air di Kampung Iboi. - Foto NSTP/Danial Saad

Berita Harian X