Selasa, 5 Julai 2022 | 10:33am

Banjir di Baling: JAKIM diarah segera selaras bantuan Musa'adah

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff untuk segera menyelaras bantuan Musa'adah jabatan itu kepada mangsa banjir di Baling, Kedah.

Selain JAKIM, katanya, agensi hal ehwal Islam di bawah seliaan jabatan itu turut diarah turun ke lapangan bagi membantu pihak berkuasa negeri Kedah membantu mangsa banjir di daerah Baling.

"JAKIM bersama-sama pihak berkuasa negeri Kedah akan membantu penduduk yang terkesan dan terjejas akibat bencana berkenaan.

Banjir kilat dilaporkan melanda Mukim Kupang di Baling menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca
Banjir kilat dilaporkan melanda Mukim Kupang di Baling menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca

"Saya mendoakan semua pihak yang terbabit dikurniakan kesabaran dan juga ketabahan menghadapi ujian ini," katanya dalam satu kenyataan.

Idris juga menyeru jemaah haji di Makkah untuk sama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara ini.

Setakat jam 2 pagi tadi, seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di daerah Baling dipindahkan ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, dilaporkan berkata setakat ini sebanyak 85 rumah dilaporkan terjejas berikutan bencana yang berlaku kira-kira jam 4 petang semalam itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. - Foto NSTP
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. - Foto NSTP
Berita Harian X