Isnin, 4 Julai 2022 | 10:11pm
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu penduduk dalam kejadian banjir kilat di sini. - Foto Ihsan Pembaca
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu penduduk dalam kejadian banjir kilat di sini. - Foto Ihsan Pembaca

'Air naik terlalu cepat'

BALING: "Air naik terlalu cepat hingga lebih satu meter, saya, ibu bapa bersama jiran terpaksa naik ke bukit di belakang rumah untuk selamatkan diri," kata mangsa banjir, Adam Mokhtar.

Adam, 20, dari Kampung Iboi itu berkata, kejadian banjir kali ini dianggap paling terburuk dalam hidupnya apabila menyaksikan banyak kerosakan berlaku apabila kepala air turut menghanyutkan kayu.

Setakat ini, beliau masih tidak mengetahui keadaan di dalam rumahnya berikutan terputus bekalan elektrik selain kawasan sekitar rumah dipenuhi kayu.

Banjir kilat yang melanda Mukim Kupang menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk petang semalam. - Foto Ihsan Pembaca
Banjir kilat yang melanda Mukim Kupang menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk petang semalam. - Foto Ihsan Pembaca

"Sekarang kami berlindung di dalam masjid di kawasan bukit di belakang rumah saya... setakat ini rumah saya masih dalam keadaan baik, namun terdapat beberapa rumah jiran musnah akibat kejadian kepala air kira-kira jam 4.30 petang tadi.

"Jambatan di sungai berhampiran rumah juga musnah, semua orang rasa panik melihat kepala air petang tadi, kami hanya fikir untuk selamatkan diri," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Adam turut bersyukur kerana kedua ibu bapanya selamat dalam kejadian itu apabila mereka terlebih dahulu naik ke bukit.

Banjir kilat menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca
Banjir kilat menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca

Namun, beliau tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting dan barangan berharga di dalam rumah kecuali motosikal.

"Air banjir datang bersama lumpur, keadaan sekarang sangat gelap, saya bersama kira-kira 50 orang penduduk masih berada di dalam masjid.

"Air sudah surut kira-kira jam 5.30 petang tadi, tetapi kami tak dapat ke mana-mana dan masih tunggu untuk diselamatkan," katanya yang tinggal kira-kira 200 meter dari Sungai Kupang.

Difahamkan kejadian banjir kali ini adalah kali ke lima pada tahun ini dan paling terburuk di kampung berkenaan.

Banjir kilat menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca
Banjir kilat menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca

Berita Harian X