Isnin, 4 Julai 2022 | 9:31pm
Banjir kilat dilapor melanda Mukim Kupang dan menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca
Banjir kilat dilapor melanda Mukim Kupang dan menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca

'Banjir paling buruk, sungai bawa lumpur, kayu dari bukit'

BALING: Banjir yang melanda daerah ini dikatakan berlaku dalam tempoh amat singkat susulan hujan tanpa henti.

Seorang penduduk, Johari Abdul Latif, 50, dari Kampung Telok Durian, Kupang berkata, hujan melanda dianggap luar biasa lebatnya sehingga menyebabkan air sungai melimpah terlalu cepat.

Ketika hujan, beliau berada di rumah rakan di Kampung Bok yang terletak berhampiran sungai.

"Mulanya aliran sungai Lata Celak macam biasa, tapi tidak lama kemudian air semakin laju hingga menyebabkan lumpur melimpah ke rumah.

"Batang dan kayu pokok turut hanyut bersama, mungkin turun dari bukit berdekatan Lata Celak," katanya.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu penduduk dalam kejadian banjir kilat di sini. - Foto Ihsan Pembaca
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu penduduk dalam kejadian banjir kilat di sini. - Foto Ihsan Pembaca

Banjir kilat dilapor melanda Mukim Kupang dan menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca
Banjir kilat dilapor melanda Mukim Kupang dan menjejaskan sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk. - Foto Ihsan Pembaca

Johari berkata, kawasan itu pernah dilanda banjir tetapi tidak seburuk yang berlaku hari ini.

Katanya, keadaan itu turut menyebabkan ramai penduduk tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan harta benda.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang tadi, hujan lebat berterusan menyebabkan banjir melanda beberapa kawasan di Mukim Kupang dan merosakkan sekurang-kurangnya 20 kediaman penduduk.

Kawasan dilaporkan terjejas teruk adalah Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas, selepas berlakunya limpahan sungai di kawasan berdekatan.

Sehingga lewat petang tadi, hujan masih berterusan di kawasan terbabit dan penduduk diminta terus berjaga-jaga bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Operasi SAR tiga sekeluarga yang masih hilang selepas rumah mereka dihanyut banjir lumpur di Kampung Iboi semalam diteruskan hari ini. - Foto NSTP
Operasi SAR tiga sekeluarga yang masih hilang selepas rumah mereka dihanyut banjir lumpur di Kampung Iboi semalam diteruskan hari ini. - Foto NSTP

Berita Harian X