Ahad, 3 Julai 2022 | 3:38pm
Muhamad Bakri Bukhari, 37, dari Bera, Pahang bersama lembu baka charolais yang dinobatkan sebagai King of Sado di Himpunan Lembu Sado 2022. - Foto ihsan pembaca
Muhamad Bakri Bukhari, 37, dari Bera, Pahang bersama lembu baka charolais yang dinobatkan sebagai King of Sado di Himpunan Lembu Sado 2022. - Foto ihsan pembaca

Berbaloi angkut lembu sembilan jam

SETIU: "Berbaloi menempuh perjalanan sembilan jam dengan membawa lembu apabila ia dinobatkan sebagai King Of Sado 2022," kata Muhamad Bakri Bukhari.

Bakri, 37, dari Bera, Pahang antara 115 penternak lembu baka yang menyertai Himpunan Lembu Sado Pantai Timur 2022 di Pekan Jabi, semalam.

Lembu charolais seberat 874 kilogram dan berumur empat tahun dua bulan mencuri tumpuan ramai sehingga memenangi kategori Lembu Sado Charolais Terbaik dan King Of Sado 2022.

Katanya, dia tidak menjangkakan lembu kesayangan dibeli pada 2019 itu berjaya menarik perhatian juri sekali gus dinobatkan sebagai King Of Sado 2022.

"Lembu itu saya beli dengan harga RM13,800 di Johor pada 2019 dan membelanya selama tiga tahun untuk dipertandingkan.

"Banyak ranjau yang terpaksa dilalui sepanjang perjalanan membawanya ke Himpunan Lembu Sado.

"Sembilan jam perjalanan yang terpaksa ditempuh untuk sampai ke acara itu dan ia sangat mencabar," katanya.

Tambahnya, susulan kemenangan lembu itu, lembu itu terjual dengan harga RM25,000.

"Lembu yang pernah mencapai berat lebih 900 kg itu akan dikorbankan di Selangor pada tahun ini.

"Berasa puas apabila lembu itu dinobatkan sebagai King Of Sado 2022 dan lebih manis ia terjual dengan harga yang sepatutnya.

"Sebenarnya saya sayang lembu itu tetapi apabila dimaklumkan untuk tujuan ibadah korban saya merelakannya untuk dijual," katanya.

Menurutnya, dia akan terus menternak lembu baka kerana penternakan lembu baka sangat menguntungkan selain permintaannya semakin meningkat dari masa ke semasa.

Berita Harian X