X
Ahad, 3 Julai 2022 | 1:04pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Masih ada tawar badal haji serendah RM2,499

KUALA LUMPUR: Masih ada agensi pelancongan mengambil kesempatan menawarkan pakej badal haji 1443H dengan upah serendah RM2,499.

Agensi itu turut mendakwa berurusan terus dengan pembadal bertauliah dan pihak dikenali, selain tidak menggunakan orang tengah bagi menjaga integriti dan ketelusan ibadah.

Tinjauan di beberapa laman web mendapati kebanyakan agensi pengendali haji dan umrah yang turut menawarkan pakej badal haji sudah menutup permohonan untuk musim ini dengan memaklumkan kuota penuh.

Bagaimanapun pada masa sama, agensi berkenaan mula membuka penyertaan badal haji bagi musim akan datang.

Tawaran badal haji itu bermula antara RM2,499 sehingga RM3,500 bergantung jenis pakej.

Bayaran itu adalah bagi pelaksanaan haji dan umrah, tahlil di tanah suci, waqaf al-Quran, sijil dan cenderahati, malah ada juga yang menawarkan korban seekor kambing di dalam pakej.

Turut kelihatan adalah tawaran badal umrah yang ditawarkan dengan bayaran serendah RM500.

Sebelum ini BH melaporkan, tawaran harga yang rendah itu dilihat meragukan dan tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan umrah dan haji.

Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900).

Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di situ.

Badal haji bermaksud ibadah haji yang diupah kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji.

Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.

Berita Harian X