Sabtu, 2 Julai 2022 | 8:24pm
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa nilai ringgit kini mengalami ‘free fall’. - Foto hiasan
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa nilai ringgit kini mengalami ‘free fall’. - Foto hiasan

Nilai ringgit alami 'free fall', dijangka merosot hingga RM5.70 bagi AS$1 - Ku Li

GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa nilai ringgit kini mengalami 'free fall', malah mata wang negara dijangka terus merosot hingga RM5.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) jika tiada tindakan segera diambil bagi mengekang kejatuhannya.

Tengku Razaleigh berkata, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian berhubung isu itu dengan secepat mungkin kerana ia akan memberi kesan terhadap rakyat.

"Kebanyakan barang yang diimport terpaksa dibayar menggunakan dolar AS dan apabila dijual dalam negara dengan ringgit, pengguna perlu membayar harga lebih mahal.

"Kita nampak sekarang berlaku 'free fall of the ringgit' kerana kerajaan dilihat seolah-olah membiarkan ringgit jatuh. Ekonomi kita pun susah hendak diselamatkan. Pelaburan tidak akan datang dengan ringgit mengalami 'free fall' macam itu," dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Gua Musang, di sini, hari ini.

Tengku Razaleigh beramah mesra dengan murid ketika hadir ke SK Gua Musang, hari ini. - NSTP/Paya Linda Yahya
Tengku Razaleigh beramah mesra dengan murid ketika hadir ke SK Gua Musang, hari ini. - NSTP/Paya Linda Yahya

Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, kerajaan mesti bertindak kerana nilai ringgit diramalkan terus merosot hingga RM5.70 berbanding dolar AS.

"Kerajaan mesti bertindak, kalau tidak seolah-olah kita akan menyerah kepada keadaan lebih buruk daripada sekarang. Kerajaan tidak boleh lepas tangan atau berpeluk tubuh jika tidak mahu melaksanakan langkah menambat ringgit.

"Ini soal kehidupan rakyat dan harga barangan pula berada pada paras tinggi. Walaupun ringgit akan pulih, harga dijangka tidak turun semula dan itu tidak baik untuk rakyat serta ekonomi negara," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan tidak bercadang untuk menambat ringgit kepada dolar AS kerana langkah itu tidak sesuai dengan keadaan semasa, malah ia tidak pernah dibincangkan pada peringkat Kabinet.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, dipetik berkata Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini sudah mengeluarkan kenyataan bahawa langkah menambat ringgit adalah tidak sesuai untuk negara.

Berita Harian X