Sabtu, 2 Julai 2022 | 6:30pm
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/ARKIB
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - NSTP/ARKIB

Tiada lesen import, dagang: Air zamzam dijual di Malaysia diragui tulen - KKM

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang sudah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM selepas mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Beliau berkata, air zamzam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub mengikut Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Dalam hal ini, Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan terbabit kerana air zamzam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

"Tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zamzam yang tidak berlesen. Justeru, air zamzam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya," katanya dalam kenyataan, semalam.

Dr Noor Hisham berkata, KKM mengambil maklum isu penjualan air zamzam secara dalam talian yang disiarkan media tempatan pada Selasa lalu.

"KKM menasihati orang ramai tidak membeli air zamzam daripada mana- mana kedai atau platform dalam talian, terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zamzam tiruan," katanya.

Beliau berkata, hasil penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam di pasaran berjumlah RM83,618.20.

Sejumlah 237 iklan makanan dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Daripada jumlah itu, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zamzam, manakala hasil pemantauan di media sosial pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zamzam masing-masing dipadam," katanya.

Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menetapkan mana-mana orang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Maklumat berkaitan penjualan air zamzam di mana-mana kedai atau dalam talian boleh disalurkan ke pejabat kesihatan daerah terdekat atau melalui laman sesawang aduan awam KKM (http://moh.spab.gov.my); atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.

Berita Harian X