Sabtu, 2 Julai 2022 | 10:44am
Prof Ts Dr Sharifudin Md Shaarani
Prof Ts Dr Sharifudin Md Shaarani

Sharifudin dilantik Naib Canselor USIM

KUALA LUMPUR: Prof Ts Dr Sharifudin Md Shaarani, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini, turut memaklumkan pelantikan Sharifudin berkuat kuasa semalam.

Katanya, Sharifudin mempunyai wibawa kesarjanaan yang dihormati rakan akademik dan ementerian yakin beliau mampu meneraju USIM sebagai salah sebuah universiti pilihan serta seterusnya melonjakkan kecemerlangan akademik negara secara keseluruhan.

"Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Prof Datuk Dr Mohamed Ridza bin Wahiddin atas jasa bakti beliau menerajui USIM sebelum ini," katanya.

Sharifudin berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Makanan dengan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Ijazah Sarjana dalam bidang Teknologi Makanan dari University of Reading, United Kingdom.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Medicinal Chemistry dari University of Cambridge, United Kingdom.

Sharifudin pernah menjawat jawatan sebagai Dekan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama sembilan tahun dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi USIM sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) USIM pada 16 Februari 2022 yang lalu.

"Beliau turut diberi kepercayaan untuk menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor USIM berkuat kuasa mulai 10 Mei 2022," katanya.

Berita Harian X