Jumaat, 1 Julai 2022 | 7:23pm

Penangkap ikan ditemui lemas di Tasik Gubir

SIK: Mayat mangsa lemas ketika keluar memancing di Tasik Gubir ditemui terapung di tasik itu jam 3 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, mangsa Othman Abdul Ghani, 49, ditemukan tidak jauh dari lokasi terakhir bot arwah dan anak saudaranya dikesan terbalik pada Rabu.

Katanya, mangsa ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian serta beg pinggang masih di badan.

Sementara itu, Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba II Syobirin Abd Kadir, berkata anggota bomba menemui mangsa dalam jarak kira-kira 500 meter dari lokasi bot terbalik.

Katanya, bomba mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk proses membawa balik mangsa ke Jeti Pendaratan Ikan Gubir sebelum diserahkan kepada polis.

"Bot mangsa tidak karam di mana telah ditemui dan ditambat oleh nelayan yang melakukan operasi pencarian sejak pagi semalam.

"Pada hari ini, kita turut membawa balik bot yang dinaiki mangsa yang ditambat di lokasi kejadian naik ke darat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Syobirin berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum itu menghadapi kesukaran kerana

tiada liputan Government Integrated Radio Network (GIRN).

"Antara cabaran yang dihadapi, liputan GIRN tiada perhubungan komunikasi bagaimanapun pihak Sapura ada datang dan kita boleh menggunakan 'point to point' bagi membantu penyaluran maklumat," katanya

Sebelum ini, media melaporkan, mangsa terjatuh dari bot ketika keluar menangkap ikan bersama anak saudara, Muhammad Khairul Badri Mahyuddin, 28, pada petang Rabu.

SAR dimulakan semalam dan bersambung pada hari kedua, hari ini sebelum mayat mangsa ditemukan jam 3 petang.

Berita Harian X