X
Jumaat, 1 Julai 2022 | 5:59pm
Foto BERNAMA
Foto BERNAMA

Tiada lesen import air zam zam ke negara ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) mengesahkan tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang diberikan lesen bagi import dan penjualan air zam zam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengimportan air mineral semula jadi memerlukan lesen punca air KKM selepas mendapat dokumen pengesahan pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Beliau berkata, air zam zam dikategorikan sebagai air mineral semula jadi dan termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Dalam hal ini, kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan pengesahan terbabit kerana air zam zam tidak boleh dieksport dan diperdagangkan.

"Tindakan penolakan konsainan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pengimportan air zam zam yang tidak berlesen. Justeru, air zam zam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KKM mengambil maklum isu penjualan air zam zam secara dalam talian yang disiarkan media tempatan pada Selasa lalu.

"KKM menasihati orang ramai tidak membeli air zam zam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutama pada musim haji ini kerana dikhuatiri ianya air zam zam tiruan," katanya.

Tambah beliau, hasil penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 hingga kini, nilai rampasan ke atas minuman yang didakwa air zam zam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

"BKKM turut menjalankan saringan berterusan ke atas platform dalam talian termasuk e-dagang. Sejumlah 237 iklan makanan dipadamkan daripada pelbagai platform e-dagang kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Daripada jumlah itu, 32 iklan makanan yang dipadam adalah iklan air zam zam, manakala hasil pemantauan di media sosial pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zam zam masing-masing sudah dipadam," katanya.

Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menetapkan mana-mana orang yang disabitkan kesalahan menjual air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun.

Maklumat berkaitan penjualan air zam zam di mana-mana kedai atau dalam talian boleh disalurkan orang ramai ke pejabat kesihatan daerah terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM (http://moh.spab.gov.my); atau Facebook BKKM http://www.facebook.com/bkkmhq.

Berita Harian X