Jumaat, 1 Julai 2022 | 2:24pm
Orang ramai menunggu giliran di pejabat JPJ Petaling Jaya, rata-rata mahu memperbaharui lesen memandu selepas kelonggaran keperluan mempamerkan Lesen Memandu Malaysia (LLM) sejak lebih setahun lalu, tamat semalam. - NSTP/GENES GULITAH
Orang ramai menunggu giliran di pejabat JPJ Petaling Jaya, rata-rata mahu memperbaharui lesen memandu selepas kelonggaran keperluan mempamerkan Lesen Memandu Malaysia (LLM) sejak lebih setahun lalu, tamat semalam. - NSTP/GENES GULITAH

Perbaharui lesen memandu saat akhir

PETALING JAYA: Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) di sini dipenuhi orang ramai, rata-rata mahu memperbaharui lesen memandu selepas kelonggaran keperluan mempamerkan Lesen Memandu Malaysia (LLM) sejak lebih setahun lalu, tamat semalam.

Tinjauan BH mendapati pelanggan mula memenuhi pejabat JPJ di sini seawal jam 8.30 pagi, sama dengan situasi semalam.

Pengawal keselamatan, Shanjaav Kunasegaran, 27, berkata dia terpaksa ke pejabat JPJ semula hari ini untuk memperbaharui lesen memandunya selepas gagal berbuat demikian pada sebelah petang semalam.

"Semalam saya datang sini tetapi pada waktu petang dengan harapan pelanggan berkurangan pada tempoh itu, tetapi gagal memperbaharui lesen kerana tempoh untuk proses berkenaan ketika itu sudah tamat.

"Jadi, hari ini saya terpaksa kembali lagi dan menunggu kira-kira 90 minit sebelum tiba giliran untuk memperbaharui lesen," katanya ketika ditemui.

Shanjaav menyarankan JPJ menambah kaunter urusan kerana hanya tiga yang dibuka hari ini menyebabkan proses menjadi kurang lancar.

"Saya sibuk dengan urusan kerja sehingga terlupa kelonggaran memperbaharui lesen memandu sudah tamat semalam. Nasib saya baik kerana penyelia membenarkan untuk bekerja syif sebelah malam hari ini, jadi dapat selesaikan urusan memperbaharui lesen memandu," katanya.

Pesara, Hashim Basri, 69, mengakui ramai yang datang ke pejabat JPJ di sini hari ini sehingga dia juga terpaksa menunggu lama untuk menyelesaikan urusan menukar hak milik kenderaan.

"Saya datang untuk melakukan penukaran nama pemilikan kenderaan, tetapi terpaksa juga menunggu lama kerana ramai yang datang untuk memperbaharui lesen memandu," katanya mengesyorkan JPJ menambah tempat menunggu lebih mesra warga emas supaya golongan itu selesa walaupun terpaksa menunggu lama.

Berita Harian X