Khamis, 30 Jun 2022 | 8:03pm
Jenazah pasangan warga emas dibawa keluar dari Hospital Tampin, untuk dibawa ke tanah perkuburan petang ini - Foto NSTP/Ahmad Hasbi
Jenazah pasangan warga emas dibawa keluar dari Hospital Tampin, untuk dibawa ke tanah perkuburan petang ini - Foto NSTP/Ahmad Hasbi

Tidak sempat ziarah cucu demam

TAMPIN: Menantu kepada pasangan warga emas yang maut dalam kemalangan di Jalan Jelai ke Bukit Rokan, di sini, tengah hari tadi, terkilan kerana sepatutnya ibu bapa mentuanya singgah di rumahnya di Seremban Selatan, Seremban, sebelum terbabit kemalangan.

Nur Izzati Alias, 29, berkata, kali terakhir beliau dan suami serta adik-beradik lain berkumpul bersama pada Ahad lalu ketika menghadiri kenduri saudara mereka di Seri Menanti, Kuala Pilah.

"Malam tadi mereka ada menghubungi saya kerana salah seorang anak saya demam dan mereka memaklumkan akan singgah di rumah kami ketika dalam perjalanan dari Seri Petaling, Kuala Lumpur untuk pulang ke rumah di Taman Sentosa, Gemas.

"Mereka mahu menjenguk cucu, namun saya pula bekerja, jadi ibu bapa mentua membatalkan hasrat mereka. Saya rasa terkilan kerana mereka tidak sempat untuk berjumpa cucu," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tampin, di sini, hari ini.

Abd Rashid Idris, 68 dan Jamilah Perlus, 62, maut selepas kereta Proton Waja dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Jelai-Rokan menghala ke Pasir Besar, Gemas, pagi tadi.

Anak sulung daripada lima beradik, Noorsyikin Abd Rashid, 41, pula berkata, ibu dan bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda dan berita mengenai kejadian ini memang tidak disangka.

"Pagi tadi kami keluar dari rumah saya di Sri Petaling, saya ke tempat kerja manakala mereka bertolak pulang ke kampung. Kami bersalam dan cium tangan seperti biasa, tiada sebarang perbezaan.

"Mereka sangat sayangkan cucu. Apabila dengar ada cucu yang sakit demam, mereka akan pergi rumah anak-anak untuk menjenguk," katanya menahan sebak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, pemandu MPV, seorang wanita berumur 50-an dihantar ke Hospital Kuala Pilah untuk menerima rawatan kerana cedera parah di kaki.

Jenazah pasangan warga emas itu dibawa keluar dari Hospital Tampin, untuk dibawa ke tanah perkuburan petang ini.

Berita Harian X