Khamis, 30 Jun 2022 | 2:05pm
Datin Seri Rosmah Mansor
Datin Seri Rosmah Mansor

Permohonan Rosmah cabar pelantikan Sri Ram didengar 6 Julai

KUALA LUMPUR: Permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kes rasuah membabitkan projek hibrid solar dihadapinya dan memohon perbicaraan penuh kes itu berlangsung sejak 2018 terbatal dan tidak sah, akan didengar pada 6 Julai ini.

Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid dan perkara itu disahkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Rosmah ketika dihubungi hari ini.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 24 Jun lalu menerusi Tetuan Akberdin & Co di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) dengan menamakan Peguam Negara/Pendakwa Raya, Kerajaan Malaysia dan Sri Ram sebagai responden.

Sebelum ini, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu memfailkan permohonan sama di Mahkamah Tinggi Jenayah di sini.

Bagaimanapun, permohonannya ditolak Mahkamah Tinggi dan rayuannya terhadap permohonan itu juga ditolak Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam permohonan terbarunya, Rosmah memohon deklarasi bahawa pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan melalui tiga surat pelantikan (fiat), masing-masing bertarikh 8 Julai 2020, 11 Mei dan 21 Mei 2021 adalah salah di sisi undang-undang.

Beliau memohon pengisytiharan fiat versi pertama yang ditandatangani Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada 8 Julai 2020, yang sepatutnya ditandatangani Peguam Negara terdahulu, Tan Sri Tommy Thomas pada atau sebelum 15 Nov 2018, iaitu tarikh pendakwaan ke atas pemohon adalah tidak sah di sisi undang-undang.

Pemohon memohon deklarasi bahawa fiat versi kedua bertarikh 11 Mei 2021 adalah tidak wujud memandangkan Thomas di dalam bukunya - 'My Story: Justice in Wilderness' yang diterbitkan pada 2021 menyatakan pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukannya kes solar, selain memohon deklarasi bahawa pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu melalui fiat versi ketiga adalah cacat.

Selain itu, Rosmah memohon deklarasi bahawa keseluruhan prosiding pendakwaan dan perbicaraan penuh bagi kes solar yang berlangsung sejak 15 November 2018 sehingga pembelaan menutup kesnya adalah tidak sah dan terbatal.

"Oleh itu, saya selaku orang kena tuduh (OKT) perlu dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan dihadapi mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dalam kes solar itu," katanya.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi sudah selesai dan Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan 7 Julai ini untuk menyampaikan keputusan sama ada Rosmah akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah itu. – BERNAMA

Berita Harian X