Rabu, 29 Jun 2022 | 11:41pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL), Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa di pejabatnya, hari ini. NSTP/Foto ihsan FB Ismail Sabri
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL), Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa di pejabatnya, hari ini. NSTP/Foto ihsan FB Ismail Sabri

PM bangga Malaysia negara contoh bentuk perpaduan kaum

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan rasa bangga apabila diberitahu bahawa Malaysia adalah negara contoh kepada masyarakat dunia kerana berjaya membentuk perpaduan antara kaum.

Beliau berkata, perkara itu dikhabarkan ketika menerima kunjungan Setiausaha Agung Liga Muslim Sedunia (MWL), Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa di pejabatnya, hari ini.

"Dalam pertemuan ini, saya nyatakan harapan agar hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi terus kukuh bagi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sheikh Dr Mohammad berada di Malaysia bagi menghadiri Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 yang akan diadakan di Bandar Sunway, Petaling Jaya esok.

Perdana Menteri dijadual untuk menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan yang julung kali diadakan di Malaysia.

Persidangan sehari itu yang menghimpunkan wakil dari 20 negara di rantau Asia, akan berkongsikan tentang konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat serta membawa mesej penyatuan ummah. – BERNAMA

Berita Harian X