Rabu, 29 Jun 2022 | 7:20pm

Atomy Malaysia rangkul dua anugerah di APEA 2022

SYARIKAT barangan pengguna, Atomy Malaysia Sdn Bhd (Atomy Malaysia) dipilih sebagai pemenang Asia Pacific Enterprise Award (APEA) 2022 yang berprestij bagi kategori Anugerah Inspirasi dan Anugerah Perusahaan Segera.

Anugerah Perusahaan Segera dianugerahkan kepada organisasi yang mencatatkan pertumbuhan jitu khususnya dalam peningkatan hasil, segmen pasaran, keuntungan dan juga pengiktirafan jenama.

Anugerah Inspirasi pula dianugerahkan kepada jenama transformasi yang berinspirasi dan memberi inspirasi, berusaha untuk mempromosikan kebaikan, kesejahteraan dan kemampanan di mana mereka adalah 'wira' dalam jenama.

Kejayaan merangkul anugerah ini membuktikan Atomy kekal menjadi jenama yang dipercayai dan menjadi pilihan dalam kalangan pengguna selain membuktikan syarikat kekal berdaya saing dalam mendepani situasi ketidaktentuan ekonomi global.

Kedua-dua anugerah berkenaan diterima Pengarah Atomy Malaysia, Kea Wong pada majlis penerimaan anugerah yang diadakan secara gilang-gemilang di One World Hotel, Petaling Jaya, baru-baru ini.

APEA adalah program Pengiktirafan Anugerah Serantau yang mengiktiraf kecemerlangan keusahawanan dan korporat yang antara lain bertujuan untuk menggabungkan usahawan serta organisasi terkemuka di seluruh Asia untuk merangsang inovasi yang lebih besar, amalan adil dan pertumbuhan dalam keusahawanan.

Ia juga diadakan bagi mewujudkan ekosistem keusahawanan berjaya yang kemudiannya akan membentuk Asia ke arah pertumbuhan ekonomi dan sosial mampan.

APEA 2022 menerima 124 penyertaan dengan 63 pemenang dipilih untuk empat kategori anugerah iaitu, Usahawan Terbaik, Usahawan Utama, Kecemerlangan Korporat dan Jenama Inspirasi yang terdiri daripada 46 syarikat dan 17 usahawan.

Kea berkongsi kegembiraan syarikat atas penghormatan yang diberikan berdasarkan cemerlang dan menakjubkan, dan berharap momentum ini dapat dikekalkan selain dapat memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai antara peneraju industri jualan langsung di negara ini.

Sejak penubuhannya pada tahun 2016, Atomy Malaysia merangkul pelbagai anugerah berprestij antaranya, anugerah Superbrands, SME100, Brand Laureate (E-Branding Award, World Prominent Business Award, World Halal BestBrands Award & Brand Icon Leadership Award).

Atomy Malaysia turut berkongsi dengan masyarakat menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan sehingga kini berjaya menyumbangkan sebanyak RM6 juta menerusi agihan produk, tunai dan sebagainya.

Sewaktu pandemik COVID-19 pada 2020, syarikat turut menghulurkan bantuan dan antaranya seperti hospital kerajaan, Polis Diraja Malaysia, universiti awam, pusat kebajikan masyarakat, persatuan orang kurang upaya dan banyak lagi.

Usaha ini antara lain untuk mengimbangi peranan syarikat dalam berkongsi keuntungan kepada masyarakat tidak kira bangsa dan agama yang terbeban dengan situasi ekonomi yang mencabar dan kos sara hidup yang tidak menentu.

Atomy Malaysia juga tersenarai sebagai antara "Great Place To Work" 2022 oleh Great Place to Work Institute, Inc yang berpusat di Amerika Syarikat, baru-baru ini.

Pengiktirafan ini bermaksud pekerjanya mempercayai majikan, bangga dengan pekerjaan mereka dan menyukai persekitaran pekerjaan.

Pengiktirafan ini sekali gus meletakkan syarikat setanding dengan pesaing tempatan lain di dalam industri yang sama.

Atomy Malaysia yang mempunyai lebih 400 Pusat Latihan Usahawan (Education Centre) di seluruh negara beriltizam untuk mendidik bakal usahawan dalam menjana pendapatan dan mengubah taraf kehidupan mereka.

Menerusi Pusat Latihan ini, bakal usahawan turut didedahkan dengan strategi pemasaran, produk yang berkualiti dan juga pengenalan bengkel latihan dalam meningkatkan kemahiran mereka seiring dengan kepesatan teknologi semasa.

Berita Harian X