Selasa, 28 Jun 2022 | 11:33pm

Mangsa nahas ke Kuantan untuk pungut hasil tanah

PADANG RENGAS: Lima beranak yang maut dalam nahas membabitkan kereta dinaiki dengan lori berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan, Pahang petang tadi, dikatakan ke Kuantan untuk urusan berkaitan pungutan hasil tanah.

Ramlan Ibrahim, 37, berkata sudah menjadi kebiasaan adiknya, Muhammad Rosli Ibrahim, 33, yang terkorban dalam nahas itu, membawa isteri dan anak mereka ke Pahang setiap tahun bagi urusan pungutan hasil berkenaan yang difahamkan berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Beliau berkata, bapa mentua adiknya dikatakan mempunyai pegangan berkaitan FELDA dan pasangan itu ke Pahang bagi memungut hasil memandangkan isterinya, Nor Afikah Abdullah Sani, 35, yang turut maut dalam nahas itu, adalah generasi kedua FELDA.

"Setiap tahun arwah akan membawa keluarganya ke Pahang untuk ambil duit hasil berkenaan.

"Saya tak tahulah kalau mereka terus bercuti di sana sebab selalunya paling lama pun mereka di Pahang dua hari," katanya ketika ditemui di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau di sini, malam ini.

Selain pasangan itu, turut terkorban dalam tragedi itu adalah ketiga-tiga anak mereka Nur Safwa Irdina Muhammad Rosli, 7; Nur Sofea Rajda Muhammad Rosli, 6; dan Muhammad Rizqi yang berusia setahun enam bulan.

Keadaan treler dan kereta yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan. - Foto ihsan Bomba dan Polis
Keadaan treler dan kereta yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan. - Foto ihsan Bomba dan Polis

Ramlan berkata, Muhammad Rosli sempat memuat naik status di WhatsApp kira-kira jam 11.30 malam tadi bahawa mereka dalam perjalanan dari rumah di Bagan Serai menuju Kuantan.

Katanya, adiknya adalah anak ke-10 daripada 13 beradik dan bekerja sebagai pemandu bas ekspres yang berpangkalan di Parit Buntar manakala Nor Afikah ialah pembantu tadbir penjawat awam yang bertugas di Bagan Serai.

"Awalnya saya dapat maklumat yang memaklumkan hanya adik saya maut dalam nahas itu sebelum diberitahu mereka lima beranak terkorban.

"Rakan saya mengetahui mengenai nahas itu menerusi kumpulan WhatsApp berkaitan automobil yang meminta ahli kumpulan memeriksa jika mengenali pemilik kenderaan dengan nombor pendaftarannya terpapar menerusi gambar bagi menghubungi waris mangsa.

"Rakan itu bertanya sama ada adik ada ke Pahang dan selepas melihat gambar kereta yang terbabit nahas itu, memang saya yakin itu adik saya dan keluarganya," katanya.

Beliau berkata, semua mayat masih dalam proses pengecaman oleh kakaknya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan dan lima beranak itu dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Labu Kubong, di sini.

"Hasil perbincangan dengan waris keluarga adik ipar (Nor Afikah), mereka bersetuju agar kelima-lima beranak itu dikebumikan di sini selepas proses pengurusan jenazah di Kuantan selesai," katanya.

Ramlan berkata, emosi ibunya belum stabil kerana terlalu sedih dengan pemergian anak, menantu dan cucunya.

Abang mangsa, Ramlan Ibrahim, ketika ditemui di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau, Padang Rengas, malam ini. - NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Abang mangsa, Ramlan Ibrahim, ketika ditemui di Kampung Labu Kubong, Lubok Merbau, Padang Rengas, malam ini. - NSTP/MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Keadaan treler dan kereta yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan. - Foto ihsan Bomba dan Polis
Keadaan treler dan kereta yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima sekeluarga di Jalan Kuantan-Segamat, Kuantan. - Foto ihsan Bomba dan Polis
Berita Harian X