Selasa, 28 Jun 2022 | 3:40pm
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad.
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad.

UMNO Bahagian Besut sokong Zahid Hamidi kekal Presiden

KUALA TERENGGANU: UMNO Bahagian Besut berpendapat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak perlu melepaskan jawatan dan mengikut kehendak pemimpin yang kecewa, sebaliknya terus menerajui parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Nawi Mohamad, berkata desakan supaya Ahmad Zahid berundur diri secara terhormat adalah kenyataan kecewa daripada seorang pemimpin digugurkan daripada jawatan.

Beliau berkata, jawatan presiden, timbalan dan naib presiden serta sebahagian daripada Majlis Kerja Tertinggi (AMT) parti dilantik oleh perwakilan pada mesyuarat pemilihan parti.

Katanya, tindakan supaya Ahmad Zahid berundur diri adalah keterlaluan dan kenyataan kecewa selepas digugurkan daripada jawatan yang dilantik khas oleh presiden.

"Layak atau sebaliknya Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk untuk terus mengemudikan UMNO adalah kuasa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan bukannya kuasa individu yang kecewa selepas digugurkan daripada jawatan," katanya, hari ini.

Nawi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, yang mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin parti dan perlu berundur diri secara terhormat.

Mengulas lanjut, Nawi berkata, Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak dilantik sebagai MKT tambahan oleh presiden dan bukannya dipilih perwakilan pada mesyuarat pemilihan parti.

"Orang kecewa selepas digugurkan daripada jawatan, macam-macam kenyataan tidak berasas dikeluarkan.

"Secara peribadi mewakili semua rakan di peringkat bahagian di negeri ini, saya berpendapat, Ahmad Zahid tidak perlu melepaskan jawatan dan mengikut kehendak pemimpin yang kecewa, sebaliknya terus menerajui parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)," katanya.

Nawi juga berkata, pertelagahan antara Tajuddin dan Ahmad Zahid tidak sedikit pun menjejaskan persiapan parti untuk menghadapi PRU ke-15.

Katanya, UMNO bahagian itu menyerahkan kuasa dan tanggungjawab sepenuhnya kepada MKT parti mengenai kedudukan Ahmad Zahid selain meminta Tajuddin untuk terus bersama UMNO walaupun tidak memegang jawatan tertinggi dalam parti.

Berita Harian X