X
Selasa, 28 Jun 2022 | 2:33pm

Peniaga had pembelian minyak masak paket

KOTA BHARU: Pengusaha kedai runcit di sini mengawal kuantiti pembelian minyak masak paket bagi memastikan setiap pelanggan mendapat bekalan minyak masak tidak kira untuk kegunaan di rumah mahupun perniagaan makanan.

Hasil tinjauan di beberapa kedai mendapati bekalan minyak masak di kedai runcit di sini masih mencukupi tanpa ada sebarang pembelian panik walaupun kerajaan mengumumkan penghapusan subsidi bagi minyak masak berbotol bagi 2 kilogram (kg), 3kg dan 5kg mulai Jumaat ini.

Minyak masak paket bersubsidi juga masih dijual seperti biasa dengan harga RM2.50 sekilogram namun peniaga mengehadkan pembelian dengan kuantiti tertentu bagi memastikan bekalan barangan terbabit tidak terputus.

Pemilik kedai borong dan runcit, Nurul Huda Mohd Hussain, 37, berkata beliau tidak berdepan masalah dengan pembekal bagi mendapatkan bekalan minyak masak untuk kegunaan masyarakat tempatan.

"Sekarang minyak botol juga masih dijual pada harga semasa iaitu RM6.20 untuk satu kilogram, RM12.70 bagi dua kilogram serta RM29.50 untuk lima kilogram. Kedai saya tidak menjual minyak botol tiga kilogram kerana tidak mendapat permintaan tinggi.

"Saya sendiri ada mengambil langkah dengan mengawal kuantiti pembelian minyak paket bagi memastikan setiap pelanggan mendapat bekalan minyak masak tidak kira untuk kegunaan di rumah mahupun perniagaan makanan.

"Bagaimanapun, saya berharap harga baharu tanpa subsidi nanti tidak terlalu tinggi yang bukan sahaja membebankan pembeli, tetapi juga peruncit dan pemborong seperti saya," katanya yang juga pengusaha kedai borong dan runcit di Pasir Pekan, Tumpat.

Media sebelum ini melaporkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata tindakan itu diambil bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran akan lebih stabil dalam jangka masa yang panjang dan seterusnya menstabilkan harga.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Suhaida Ismail, 38, berkata minyak masak botol masih ada di pasaran namun pembelian bagi minyak masak paket bagi isi rumah agak terhad dengan hanya dibenarkan sebanyak dua atau tiga kilogram seorang.

"Peniaga makanan seperti saya antara yang terkesan jika berlaku kenaikan harga minyak botol kerana ia adalah bahan utama kami untuk memasak. Saya bimbang jika terpaksa menaikkan harga makanan disebabkan kenaikan nilai minyak masak secara mendadak.

"Sekarang pun kami sudah terbeban dengan harga semasa minyak botol ini, apatah lagi jika ia terus meningkat, tetapi saya sebagai rakyat berharap segala keputusan kerajaan ini memberi manfaat kepada masyarakat.

"Saya ada membeli bekalan minyak masak tetapi hanyalah minyak masak botol memandangkan minyak paket sudah dihadkan pembelinya oleh segelintir pemborong dan peruncit," katanya.

Pekerja menyusun stok bekalan minyak masak paket bersubsidi ketika tinjauan di kedai borongnya di Pasir Pekan, Tumpat. Bekalan minyak masak di kedai pemborong dan peruncit sekitar Kota Bharu masih mencukupi tanpa ada sebarang pembelian panik walaupun kerajaan mengumumkan penghapusan subsidi bagi minyak masak botol mulai 1 Julai. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pekerja menyusun stok bekalan minyak masak paket bersubsidi ketika tinjauan di kedai borongnya di Pasir Pekan, Tumpat. Bekalan minyak masak di kedai pemborong dan peruncit sekitar Kota Bharu masih mencukupi tanpa ada sebarang pembelian panik walaupun kerajaan mengumumkan penghapusan subsidi bagi minyak masak botol mulai 1 Julai. - Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X