X
Selasa, 28 Jun 2022 | 2:06pm

Peniaga had jualan minyak masak peket

ALOR SETAR: Peniaga runcit dan pasar mini di sekitar daerah ini terpaksa mengehadkan pembelian tiga peket minyak masak kepada satu keluarga bagi mengelakkan bekalan terputus.

Tinjauan di beberapa kedai runcit dan pasar mini di sekitar bandar raya ini turut mendapati, minyak masak botol semakin berkurangan.

Peniaga pasar mini di Alor Mengkudu, Nasyitah Hussin, 31, berkata, dalam sehari dia hanya menjual 30 peket minyak masak walaupun permintaan bekalan minyak itu meningkat.

Katanya, ada pelanggan yang sanggup datang setiap hari semata-mata untuk membeli minyak masak tetapi dia hanya menjual bergantung pada stok.

"Satu peket minyak masak dijual pada harga RM2.50 dan sudah tentu ianya menjadi pilihan pengguna kerana harganya murah.

"Saya terpaksa meletak minyak masak peket di kaunter bayaran bagi mengelakkan pelanggan mengambil stok lebih daripada yang ditetapkan.

"Kebanyakan pelanggan adalah dalam kalangan peniaga makanan di kawasan berhampiran pasar mini ini tetapi mereka sudah faham dengan keadaan yang berlaku," katanya ketika ditemui di pasar mini berkenaan, hari ini.

Nasyitah berkata, manakala bekalan minyak masak botol sudah habis dan dia sudah membuat tempahan kepada pemborong untuk menghantar bekalan minyak masak di situ.

Katanya, pembelian panik sebelum 1 Julai ini berkemungkinan akan berlaku, berikutan harga subsidi minyak masak akan dimansuhkan.

Peniaga runcit, Ahmad Ismail, 50, pula berkata, stok minyak masak di kedainya habis dan bekalan sukar diperolehi ketika ini.

Katanya, sekarang hanya tinggal beberapa minyak masak botol satu kilogram manakala minyak peket habis sejak dua hari lalu.

Sementara, suri rumah, Noor Asyikin Ahmad, 34, berkata, dia lebih suka membeli minyak peket kerana harganya murah tetapi disebabkan stok yang terhad dan cepat habis, dia memilih untuk memakai minyak masak botol.

Katanya, dengan anak yang ramai, minyak masak cepat habis dan dia terpaksa membeli stok minyak masak botol dengan banyak untuk mengelak kehabisan.

"Saya terpaksa pergi dari satu kedai ke satu kedai lain di daerah ini untuk membeli minyak masak bagi mengelakkan ia kehabisan," katanya yang menetap di Jalan Langgar.

Siti Aminah Ayub, 55, berkata, dia menggunakan kira-kira lima peket minyak masak sehari untuk menjual makanan di gerainya dan adakala terpaksa menggunakan semula minyak yang sudah digunakan.

Katanya, jika minyak masak habis di pasaran, sudah tentu dia terpaksa menutup perniagaannya sementara waktu kerana minyak masak adalah bahan asas dalam masakan.

Nasyitah (kanan) bersama pekerjanya mengehadkan jualan tiga peket minyak masak kepada satu keluarga bagi mengelak pembelian panik. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Nasyitah (kanan) bersama pekerjanya mengehadkan jualan tiga peket minyak masak kepada satu keluarga bagi mengelak pembelian panik. - Foto NSTP/Zuliaty Zulkiffli
Berita Harian X