Selasa, 28 Jun 2022 | 1:34pm
Pemilik kedai runcit, Tay Kah Loy menunjukkan bekalan minyak masak di kedainya hampir kehabisan berikutan sudah sebulan tidak terima stok baru. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi
Pemilik kedai runcit, Tay Kah Loy menunjukkan bekalan minyak masak di kedainya hampir kehabisan berikutan sudah sebulan tidak terima stok baru. - Foto NSTP/Mohd Roji Kawi

Sudah sebulan kedai runcit tak terima bekalan minyak masak

KUCHING: Bekalan minyak masak paket 1 kilogram (kg) kehabisan manakala minyak masak botol semakin kilogram berkurangan. Itu situasi yang dapat dilihat di beberapa pasar raya di sekitar Bandaraya Kuching, hari ini.

Tinjauan kedai runcit pula mendapati, bukan sahaja minyak masak paket yang kehabisan, malah minyak masak botol berasaskan sawit juga sudah habis.

Seorang pekerja sebuah pasar raya yang ditemui berkata, semalam mereka ada menerima bekalan 10 kotak minyak masak paket, namun habis dalam masa tidak sampai satu jam.

"Orang ramai macam tahu bila bekalan minyak sampai. Sebaik sahaja kami mengeluarkan minyak itu, orang ramai mula berduyun-duyun datang.

"Walaupun kami hadkan hanya tiga paket untuk seorang pembeli, bekalan yang kami terima itu habis dalam masa singkat," katanya.

Ditanya kemungkinan ia berlaku akibat pembelian panik berikutan subsidi akan dimansuhkan 1 Julai ini, pekerja terbabit tidak menafikannya.

"Bukan sahaja minyak paket, yang dalam botol satu hingga lima kilogram pun ramai yang beli," katanya. Sementara itu, seorang peniaga runcit, Tay Kah Loy, berkata masalah bekalan minyak masak dialami pekedai sepertinya berikutan pembekal tidak menghantarnya sejak sebulan lalu.

Beliau pernah bertanya dengan pembekal, namun dimaklumkan minyak masak dihantar terus ke pasar raya menyebabkan mereka tidak boleh menghantar ke kedai-kedai runcit.

"Saya tidak tahu apa masalah sebenar, tetapi memang sudah agak lama pembekal tidak menghantar minyak masak ke kedai saya.

"Kali terakhir saya menerima bekalan minyak masak paket ialah kira-kira sebulan lalu, itu pun saya hanya mendapat dua kotak, 24 paket. Selepas itu tiada lagi penghantaran dibuat," katanya sambil menambah ketika ini minyak masak berasaskan jagung dan kacang tanah sahaja yang ada, tetapi itu pun tinggal beberapa botol sahaja lagi.

Berita Harian X