Selasa, 28 Jun 2022 | 10:17am

Sik, Baling, Padang Terap dilanda banjir

ALOR SETAR: Hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi menyebabkan 69 rumah di tiga daerah di negeri ini dilanda banjir.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, berkata daerah yang terjejas adalah Sik, Baling dan Padang Terap.

Beliau berkata, 20 rumah di lapan kampung membabitkan dua mukim di daerah Sik ditenggelami air.

"Antara kampung terbabit adalah Kampung Lentang, Kuala Bentong, Kampung Belantik Dalam, Kampung Surau dan Kampung Pinang di Mukim Sok.

"Tiga lagi kampung iaitu di Mukim Sik adalah Kampung Lubuk Tualang, Kampung Belimbing dan Kampung Jerai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Saifuddin berkata, 42 rumah yang terjejas banjir di daerah Baling pula membabitkan Kampung Rambong Batu 7, Kampung Carok Juan dan Kampung Bendang Sera, Lorong Jenalik, Lorong Tanjung Ara, Lorong Kundur, Lorong Kampung Paya, Lorong Atas Bukit dan Lorong Charok Pam.

Beliau berkata, di daerah Padang Terap pula tujuh rumah yang terjejas di Mukim Naka iaitu di Ladang Sungai Tekai.

"Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tiga daerah berkenaan setakat ini.

"Cuaca dilaporkan semakin baik dan paras air semakin surut," katanya.

Banjir kilat yang melanda daerah Baling berikutan hujan lebat sejak tengah malam. - Foto NSTP/Ihsan APM
Banjir kilat yang melanda daerah Baling berikutan hujan lebat sejak tengah malam. - Foto NSTP/Ihsan APM
Berita Harian X