Isnin, 27 Jun 2022 | 9:10pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Tarif asas elektrik pengguna di Semenanjung kekal

PUTRAJAYA: Pengguna domestik kategori kediaman serta pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri di Semenanjung Malaysia tidak akan mengalami kenaikan bil elektrik bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini, melalui pelarasan tarif elektrik di bawah pelaksanaan mekanisme Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT).

Suruhanjaya Tenaga (ST), berkata pelaksanaan mekanisme ICPT itu membolehkan pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan serta tiada surcaj dikenakan untuk pengguna domestik manakala surcaj 3.70 sen/kWj untuk pengguna bukan domestik dikekalkan.

ST dalam kenyataan hari ini memaklumkan jumlah keseluruhan peruntukan pemberian rebat dan kos surcaj ICPT yang ditanggung oleh kerajaan adalah sebanyak RM5.8 bilion.

Menurut ST, kerajaan pada Jumaat lalu bersetuju supaya pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme ICPT bagi pengguna di Semenanjung dilaksanakan untuk tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini.

"Dengan mengekalkan pemberian rebat semasa dan tanggungan kos surcaj ICPT sepenuhnya kepada semua pengguna domestik, kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM2.3 bilion untuk menanggung kos tersebut," menurut kenyataan itu.

ST memaklumkan kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM3.5 bilion untuk memastikan surcaj ICPT semasa dikekalkan kepada pengguna bukan domestik seperti komersial dan industri daripada dikenakan keseluruhan surcaj yang sepatutnya pada 11.81 sen/kWj.

Menurut ST, berlaku peningkatan dalam kos bahan api dan kos penjanaan lain sebanyak RM7 bilion atau bersamaan dengan surcaj ICPT pada kadar 11.81 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun ini.

Ia ekoran kenaikan harga arang batu di pasaran dunia sehingga mencecah AS$265 per tan berbanding dengan kadar AS$79 per tan yang diunjurkan dalam kadar tarif asas Tenaga Nasional Bhd (TNB), dan antara puncanya adalah berikutan krisis global yang berlaku dan kekangan bekalan arang batu dunia.

Lebih 80 peratus daripada elektrik yang dijana di Malaysia menggunakan arang batu dan gas.

Menurut ST, di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam bulan dan dilepaskan kepada pengguna elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos terbabit.

Sebagai langkah untuk meminimumkan kos bil elektrik, pengguna elektrik di Semenanjung digalakkan untuk memanfaatkan Program Net Energy Metering (NEM), selain digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah menggunakan elektrik dengan cekap.

Pengguna juga boleh menganggarkan kos bil elektrik bulanan pada masa akan datang dengan menggunakan kalkulator tarif elektrik melalui portal www.myelectricitybill.my dan memasukkan unjuran harga arang batu dan gas serta kadar tukaran wang asing untuk membuat anggaran kos ICPT pada tempoh pelarasan tarif akan datang. – BERNAMA

Berita Harian X