Isnin, 27 Jun 2022 | 11:05am
Taburan kes baharu, kes sembuh, dan kes kematian COVID-19 sehingga ME 25/2022
Taburan kes baharu, kes sembuh, dan kes kematian COVID-19 sehingga ME 25/2022

Kes import catat peningkatan 67 kali ganda

PUTRAJAYA: Jumlah kes import iaitu pesakit COVID-19 yang mendapat jangkitan dari luar negara menunjukkan peningkatan sebanyak 67.3 kali ganda pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-25/2022.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pada minggu sebelumnya, jumlah kes import hanya mencatatkan sejumlah lapan kes, bagaimanapun jumlah itu terus meningkat pada ME 25/2022 dengan 538 kes.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, selain kes import, jumlah penularan kes baharu serta kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital turut mencatatkan peningkatan pada ME 25/2022 atau sepanjang tempoh 19 Jun hingga Sabtu lalu.

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk dari ME 1/2022 sehingga ME 25/2022
Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk dari ME 1/2022 sehingga ME 25/2022

"Bilangan kes baharu bagi ME 25/2022 meningkat sebanyak 10.9 peratus bersamaan 15,739 kes berbanding minggu sebelumnya yang mencatatkan 14,195 kes, manakala jumlah kes tempatan meningkat sebanyak 7.1 peratus iaitu daripada 14,187 kes kepada 15,201 kes.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 25/2022 adalah 26,946 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 12.1 peratus berbanding minggu sebelumnya. Bagaimanapun, bilangan kes sembuh turut meningkat iaitu sebanyak 33.8 peratus (10,524 kes kepada 14,078 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, bagi jumlah kes kematian membabitkan pesakit COVID-19, ia menunjukkan penurunan sebanyak 38.1 peratus iaitu daripada 21 kes pada minggu sebelumnya dan 13 kes pada ME 25/2022.

Dalam pada itu, mengulas mengenai jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan termasuk Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) awam, Dr Noor Hisham berkata, bagi setiap 100,000 penduduk, ia meningkat sebanyak 11 peratus ME 25/2022.

"Selain itu, jumlah pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 28 peratus. Pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 14 peratus manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 45 peratus.

Taburan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 mengikut kategori ke hospital awam mengikut kategori bagi setiap 100,000 populasi dari ME 1/2022 hingga ME 25/2022
Taburan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 mengikut kategori ke hospital awam mengikut kategori bagi setiap 100,000 populasi dari ME 1/2022 hingga ME 25/2022

"Bagaimanapun, penggunaan katil bukan kritikal, katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan katil di PKRC tiada perubahan. Namun jumlah pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1 peratus," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan trend peningkatan.

"Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 22.0 peratus, bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 16.5 peratus dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 18.9 peratus," katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) membabitkan kes COVID-19, Dr Noor Hisham memaklumkan, hasil survelan di lokasi sentinel seluruh negara menunjukkan penurunan.

"Kadar positif sampel ILI bagi COVID-19 dalam trend statik sebanyak 6.0 peratuspada ME 25/2022 berbanding ME 24/2022 dan kadar positif sampel SARI bagi COVID-19 pada ME 25/2022 menunjukkan trend menurun daripada 4.4 peratus pada ME 24/2022 kepada 0.0 peratus pada ME 25/2022," katanya.

Berita Harian X