Ahad, 26 Jun 2022 | 5:02pm

KUSKOP galak koperasi sertai federasi

SEREMBAN: Koperasi yang menjalankan perniagaan dalam sektor pertaniaan dan perladangan digalakkan menyertai federasi koperasi atau gabungan antara entiti itu bagi menghasilkan pulangan yang lebih lumayan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya, berkata ia bertujuan untuk pengumpulan modal, kepakaran dan sumber lain bagi membolehkan koperasi memberikan hasil yang berskala besar.

"Konsep federasi ini maksudnya dua atau tiga koperasi yang menjalankan perniagaan yang sama. Contohnya, penternakan lembu kita gabungkan supaya mereka boleh mengeluarkan input yang lebih besar.

"Ia seterusnya dapat memperkukuhkan daya saing sesebuah koperasi berlandaskan perinsip ke enam iaitu bekerjasama di antara koperasi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan Hari Koperasi Negara 2022 peringkat Negeri Sembilan sempena Sambutan 100 tahun Gerakan Koperasi di Malaysia di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini, hari ini.

Muslimin berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ketika ini memberi tumpuan terhadap sektor pertanian dan perladangan sebagai langkah menghadapi krisis makanan negara.

"Setakat ini, lebih 50 koperasi seluruh negara terbabit dengan pertanian dan perladangan.

"Tan Sri Noh (Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar) dah beritahu, mana-mana koperasi yang berfokuskan pertanian dan penternakan kalau membuat pembiayaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Bank Rakyat ataupun mana-mana bank di bawah koperasi, kita memberi keutamaan tanpa karenah. Itu matlamat kita.

"Hari ini masalah paling besar kita adalah peningkatan harga ayam, kerana dikatakan input makanan sangat mahal.

"Kita terpaksa import daripada luar, maka dengan itu Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (ANGKASA) sudah mengenalpasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara akan mengusahakan tanaman jagung bijirin skala besar," katanya.

Beliau berkata, setiap hektar mampu mengeluarkan lima tan jagung bijirin dan menampung 20 peratus daripada keperluan import jagung bijirin yang dilihat berupaya membantu kerajaan menangani masalah kenaikan harga ayam.

dalam perkembangan lain, Muslimin berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sembilan memberikan Bantuan Pembangunan Koperasi berjumlah RM405,000 kepada lapan koperasi.

"Bantuan ini terdiri daripada bantuan pembangunan perniagaan Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer), bantuan Putra dan bantuan Insentif Jualan Harga Patut (JHP)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap supaya SKM dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) selaku agensi yang bertanggungjawab dalam pembangunan Gerakan Koperasi untuk terus kekal relevan supaya sosioekonomi anggota koperasi yang berjumlah 192,000 di negeri ini terus terbela.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya (empat dari kanan) berkatakan sesuatu kepada ahli koperasi yang mendapat Anugerah Koperasi Terbaik pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. NSTP/ AZRUL EDHAM
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya (empat dari kanan) berkatakan sesuatu kepada ahli koperasi yang mendapat Anugerah Koperasi Terbaik pada Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara 2022 Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi. NSTP/ AZRUL EDHAM
Berita Harian X