X
Ahad, 26 Jun 2022 | 1:23pm

Lebih 150,000 pengunjung datang ke Karnival Jom Heboh

PUTRAJAYA: Cuaca hujan tidak menghalang orang ramai terus membanjiri Karnival Jom Heboh (KJH) yang diadakan di Anjung Floria, Presint 4, di sini, hari ini.

Ada di antara pengunjung hadir ke karnival berkenaan sejak jam 8 pagi kerana tidak mahu melepaskan pelbagai aktiviti menarik yang diadakan sempena karnival berlangsung.

Tinjauan BH mendapati, pengunjung juga tidak melepaskan peluang beriadah bersama keluarga di Pantai Floria selepas penat berjalan mengunjungi gerai di KJH.

Bagi Iman Ainol, 33, penularan pandemik COVID-19 menyebabkan beliau sudah lama tidak menghadiri sebarang karnival seumpama itu dan berpuas hati dengan penganjuran KJH kali ini.

Beliau yang datang dari Kuala Lumpur berkata, penganjuran KJH ini diadakan di kawasan terbuka yang sangat luas, sekali gus dapat mengelak orang ramai tertumpu pada satu tempat saja.

"Kalau dulu lokasi KJH digunakan agak sempit, tetapi penganjuran kali ini lebih banyak kawasan untuk beriadah sekeluarga, malah sesuai juga untuk membawa anak kecil bersama.

"Saya lihat, laluannya juga mesra kanak-kanak dan warga emas kerana tiada jalan berbonggol, jadi senang untuk ibu bapa membawa kereta sorong bayi mahupun mereka yang menggunakan kerusi roda," katanya yang turut membawa anak berusia dua dan lima tahun.

Sementara itu, bagi Syafiqah Anuar, 25, beliau pada mulanya agak ragu-ragu untuk menghadiri karnival besar seumpama itu kerana masih takut dengan penularan COVID-19.

Namun, perasaannya mula lega selepas melihat walaupun orang ramai hadir ke karnival berkenaan tetapi kawasannya tidak terlalu sesak kerana diadakan di lokasi terbuka dan luas.

"Karnival ini agak santai dan teratur, banyak juga tempat untuk berhenti rehat jika penat berjalan dan aktiviti diadakan juga sesuai dengan semua peringkat umur," katanya.

Sehingga semalam, seramai 150,000 pengunjung sudah menghadiri acara tahunan kegemaran ramai itu yang diadakan dua hari bersempena Hari Rekreasi Putrajaya.

Karnival anjuran Media Prima Berhad (MPB) ini turut dimeriahkan dengan khemah dari TV3, TV9, DidikTV, Hot FM, Molek FM, Buletin FM, Oh Bulan, Seismik, Vocket, Wowshop dan tonton.

Turut memeriahkan karnival ialah khemah The New Straits Times Press (NSTP) yang mewakili cabang percetakan MPB, menampilkan tiga akhbar iaitu New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM).

Tarikan utama KJH pada kali ini adalah belon udara panas yang membolehkan pengunjung melihat sekeliling Putrajaya hanya dengan membayar RM1 menggunakan aplikasi DuitNow.

Malah bagi peminat kopi, mereka boleh singgah ke Coffee Village@Anjung Floria dan pelbagai tawaran hadiah menarik diberikan di semua reruai yang terdapat dalam karnival berkenaan.

 Orang ramai terus mengunjungi Karnival Jom Heboh di Anjung Floria Putrajaya yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. NSTP/ROHANIS SHUKRI
Orang ramai terus mengunjungi Karnival Jom Heboh di Anjung Floria Putrajaya yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga. NSTP/ROHANIS SHUKRI
Berita Harian X