Sabtu, 25 Jun 2022 | 5:02pm
Shawaludin (duduk, kanan) menandatangani MoU bersama Zulhelmi (duduk, kiri) hari ini. Foto Bernama
Shawaludin (duduk, kanan) menandatangani MoU bersama Zulhelmi (duduk, kiri) hari ini. Foto Bernama

Penunggang p-hailing penat bekerja, tertekan dengan sistem aplikasi

SHAH ALAM: Tiga hingga empat kes kemalangan dilaporkan berlaku setiap minggu membabitkan penunggang p-hailing di negara ini akibat terlalu penat bekerja dan terikat dengan sistem aplikasi.

Mereka juga didakwa terpaksa melanggar lampu isyarat dan tidak dapat berehat seperti dulu disebabkan sistem aplikasi yang menekan golongan itu yang mengejar petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan syarikat dan mengelak dikenakan penalti yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor, berkata keadaan ini menggambarkan kurangnya kesedaran mengenai tahap keselamatan segelintir penunggang p-hailing demi mengejar trip dan tempahan sehingga membahayakan diri mereka.

"Penunggang p-hailing terikat dengan syarikat penghantaran masing-masing.

"Kesedaran keselamatan dalam kalangan mereka juga masih di tahap rendah termasuk di kawasan bandar.

"Kebanyakan mereka bekerja melebihi empat jam tanpa henti demi mengejar trip dan tempahan sehingga terlalu kepenatan," katanya pada sidang media selepas majlis Memorandum Persefahaman (MoU) p-hailing di antara Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) dengan PENGHANTAR di Pusat Konvensyen Setia Alam, di sini, hari ini.

Majlis MoU disaksikan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Mohd Anuar Embi dan Presiden MSOSH, Dr Shawaludin Husin.

MSOSH turut melancarkan laman sesawang Persidangan Tahunan Pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik (APOSHO) 2023 yang dijangka berlangsung Oktober tahun depan.

Malaysia melalui MSOSH akan menjadi tuan rumah persidangan itu yang menghimpunkan lebih 40 pertubuhan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari 23 negara di rantau Asia Pasifik.

Zulhelmi berkata, MoU ditandatangani itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan membela nasib penunggang p-hailing di seluruh negara.

"Kerjasama ini bagi menyokong polisi keselamatan dan kesihatan PENGHANTAR ke arah mewujudkan budaya kerja selamat dalam kalangan pengurusan dan penunggang p-hailing serta sentiasa menjadikan pengurusan KKP berteraskan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

"Ia juga bagi meningkatkan kesedaran dan perlindungan penunggang p-hailing terhadap KKP, selain memastikan setiap menghantar memakai peralatan perlindungan diri ketika bekerja.

"Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih 5,000 ahli PENGHANTAR terutama membantu mengurangkan risiko dan jumlah kes kemalangan jalan raya," katanya.

Sementara itu, Shawaludin berkata, MSOSH akan mengiktiraf modul KKP yang dibangunkan PENGHANTAR, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Beliau berkata, ia akan diadaptasikan dalam panduan KKP p-hailing secara menyeluruh, sekali gus memperbaiki jaringan keselamatan sosial pekerjanya.

Berita Harian X