Sabtu, 25 Jun 2022 | 4:24pm
Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor (tiga dari kiri) merasmikan gerai pameran NSTP sambil disaksikan oleh Pengarang Kumpulan New Straits Times, Lokman Mansor (dua dari kiri), Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman (lima dari kiri) dan Pengarang Eksekutif (kandungan) Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad (enam dari kiri) di Karnival Jom Heboh, Anjung Floria, Putrajaya. - Foto Eizairi Shamsudin

Karnival Jom Heboh kembali meriah selepas pandemik

PUTRAJAYA: Cuaca panas dan keadaan jalan raya yang sesak tidak menghalang orang ramai untuk mengunjungi Karnival Jom Heboh (KJH) yang berlangsung di Anjung Floria, Presint 4, di sini, hari ini.

Karnival anjuran Media Prima Berhad (MPB) ini dimeriahkan dengan pelbagai khemah mewakili TV3, TV9, DidikTV, Hot FM, Molek FM, Buletin FM, Oh Bulan dan banyak lagi.

Karnival itu bukan sahaja menarik kehadiran masyarakat setempat, malah penduduk dari kawasan berhampiran seperti Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan.

Tinjauan mendapati, orang ramai sanggup datang seawal jam 8 pagi dan memenuhi reruai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan, permainan, jualan dan promosi yang disediakan.

Pekerja sektor awam, Aimi Munirah Alias, 29, berkata ini kali pertama dia sekeluarga menghadiri Karnival Jom Heboh yang disifatkan sangat meriah.

"Walaupun tiga tahun KJH tidak dapat diadakan kerana pandemik, tahun sebelum ini pun saya memang tidak pernah datang KJH.

"Satu karnival yang menyeronokkan dan sesuai untuk bawa keluarga dan anak kecil. Sambutan juga dapat dilihat sangat memberangsangkan. Tempat berteduh juga selesa kerana ada banyak pokok dan banyak kerusi disediakan untuk berehat," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Halimah Hasan, 50, berkata KJH mampu memberi banyak input dan promosi kepada orang ramai.

"Sebelum ini saya memang tak tahu apa-apa promosi sehingga saya datang ke karnival ini. Banyak cabutan bertuah dan hadiah menarik diterima daripada khemah jualan. Sungguh menggembirakan," katanya yang hadir ke KJH dari Setapak, Kuala Lumpur.

Orang ramai mengunjungi Karnival Jom Heboh 2022. Belbagai aktiviti booth yang menarik tersedia untuk orang ramai disepanjang Karnival Jom Heboh dari 25 hingga 26 ini di Anjung Floria, Putrajaya. - Foto Rohanis Shukri

Kakitangan awam, Azrul Hafiz Mat Jusoh, 35, berkata dia teruja untuk menghadiri KJH kerana mahu melihat pameran disediakan dan mendapatkan cenderahati menarik.

"Saya datang awal ke sini kerana tidak mahu terlepas program yang diadakan, terutama permainan menarik untuk kanak-kanak yang disediakan di gerai The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP).

Sebahagian daripada orang ramai yang hadir di Karnival Jom Heboh, Anjung Floria, Putrajaya. - Foto Eizairi Shamsudin
Sebahagian daripada orang ramai yang hadir di Karnival Jom Heboh, Anjung Floria, Putrajaya. - Foto Eizairi Shamsudin

"Alhamdulillah, anak-anak sangat seronok dan mereka juga gembira sertai aktiviti melukis diadakan di gerai NSTP ini," kata bapa kepada tiga anak berusia tiga hingga sembilan tahun.

Selain itu, katanya, dia turut membeli pelbagai barangan keperluan yang dijual pada harga promosi dan lebih murah berbanding di pasaran.

Berita Harian X