PUTRAJAYA: Karnival Jom Heboh di Presint 4 membuka tirai hari ini, dengan pelbagai acara dan promosi menanti pengunjung.
Acara tahunan kegemaran ramai yang dibawakan oleh DuitNow itu berlangsung selama dua hari bersempena dengan Hari Rekreasi Putrajaya.
Seawal jam 8 pagi, orang ramai mula memenuhi karnival termasuk mereka yang beriadah.
Karnival anjuran Media Prima Berhad (MPB) ini turut dimeriahkan dengan khemah dari TV3, TV9, DidikTV, Hot FM, Molek FM, Buletin FM, Oh Bulan, Seismik, Vocket, Wowshop dan tonton.
Turut memeriahkan karnival khemah The New Straits Times Press (NSTP) yang mewakili cabang percetakan Media Prima Berhad, menampilkan tiga akhbar iaitu New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM).
Pelbagai aktiviti menarik menanti dan orang ramai berpeluang untuk beramah mesra dengan selebriti tanah air seperti Meerqeen, Anna Jobling, Zara Zya, Ummi Nazeera dan Sophia Albarakbah.
Selain itu, belon udara panas juga disediakan khas untuk pengunjung yang ingin melihat Putrajaya, hanya dengan menggunakan aplikasi DuitNow.