Sabtu, 25 Jun 2022 | 11:51am
Laporan BH Online semalam mengenai kenaikan kadar elaun warden sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan.
Laporan BH Online semalam mengenai kenaikan kadar elaun warden sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan.

Naikkan elaun warden asrama hanya penyelesaian jangka pendek - i-Guru

SEREMBAN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menyambut baik keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) menaikkan elaun warden sekolah berasrama di bawah kementerian itu, namun melihat langkah berkenaan hanya bersifat penyelesaian jangka pendek setelah 25 tahun tidak disemak.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berpandangan terdapat aspek lain yang turut perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib supaya isu beban tugas guru warden asrama dapat diselesaikan untuk jangka panjang.

"Kami sambut baik langkah KPM menaikkan kadar elaun guru warden asrama, tanda KPM mendengar suara akar umbi kesatuan-kesatuan guru. Ini kerana beban tugas guru warden bukan perkara baharu dan beberapa aspek lain juga perlu diberi perhatian supaya isu ini dapat diselesaikan untuk jangka panjang.

"Kami ingin mengulangi pandangan sebelum ini bahawa KPM perlu menjadikan jawatan guru warden seperti juga guru pusat sumber agar mereka tidak dibebankan dengan bebanan akademik yang berat," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan kadar baharu elaun diterima ketua warden asrama dinaikkan mulai 1 Ogos depan kepada RM350, manakala warden pula RM300, membabitkan implikasi kewangan hampir RM19 juta.

Mohd Azizee juga berharap KPM dapat mewujudkan perjawatan warden sepenuh masa yang bukan dari kalangan guru, selain mengkaji nisbah warden dengan murid iaitu mengecilkan nisbah sedia ada daripada seorang warden dengan 50 murid kepada 1 warden menjaga 40 murid.

"Langkah ini diharap dapat meningkatkan kualiti kerja guru warden dan meringankan beban yang ditanggung," katanya menambah, guru warden juga berdepan risiko tindakan saman ibu bapa jika berlaku sesuatu di asrama.

Dalam hal itu, katanya, KPM perlu memastikan kebajikan guru warden terbela dan terjaga bukan sahaja dari imbuhan material semata-mata, tetapi juga dari sudut peruntukan undang-undang dengan menggubal akta keguruan yang dapat menjamin nasib pendidik.

Berita Harian X