Jumaat, 24 Jun 2022 | 3:32pm
Nancy (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan (dua dari kiri) dan Timbalan Naib Canselor USIM, Prof Dr Sharifudin Md Shaarani (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Islamic Tourism Week 2022 di sebuah hotel hari ini. - BERNAMA
Nancy (tiga dari kiri) menyaksikan pertukaran dokumen memorandum persefahaman (MoU) antara Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre, Datuk Dr Mohmed Razip Hasan (dua dari kiri) dan Timbalan Naib Canselor USIM, Prof Dr Sharifudin Md Shaarani (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Islamic Tourism Week 2022 di sebuah hotel hari ini. - BERNAMA

MOTAC sasar kehadiran 900,000 pelancong Muslim ke Malaysia

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyasarkan 900,000 kedatangan pelancong Muslim ke negara ini sepanjang tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sasaran itu dibuat susulan perkembangan positif yang dilihat sejak pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu.

Bagi mencapai hasrat itu, katanya penggiat industri perlu memberikan tumpuan khusus dengan memperluaskan pelaburan mereka dalam sektor pelancongan Islamik.

"Negara ini mempunyai kelebihan sebagai perintis kepada Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH), selain majoriti penduduknya beragama Islam.

"Melalui pameran dan promosi kita di luar negara, maklum balas diterima - walaupun negara ini kurang dikenali - namun mereka menyanjungi Malaysia dari sudut budaya dan seni.

"Selain itu, kita juga mempunyai rekod yang baik dengan negara lain," katanya ketika sidang media selepas pelancaran Minggu Pelancongan Islam (ITW), di sini, hari ini. .

Mengulas kelebihan dimiliki Malaysia dalam konteks pelancongan Islamik, Nancy berkata, agensi yang menguruskan haji dan umrah di negara ini juga menerima pujian disebabkan rakyat negara ini menunjukkan disiplin tinggi ketika di luar negara.

"Saya percaya semua kelebihan ini sebab untuk itu jual nama baik negara kita.

"Malah berdasarkan Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) 2022, Malaysia kekal berada pada kedudukan pertama bagi destinasi percutian mesra Muslim terbaik untuk pelancongan Muslim sejak 2015," katanya.

Terdahulu pada majlis itu, Nancy menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pusat Pelancongan Islam (ITC) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bagi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pembangunan bakat dan kepakaran berkaitan sektor pelancongan Islamik.

Minggu Pelancongan Islam yang julung kali diadakan berlangsung selama dua minggu bermula 20 Jun hingga 3 Julai depan.

Melalui program berkenaan, sejumlah 35 program di 37 lokasi seluruh negara dianjurkan merangkumi seminar kepemimpinan dan keusahawanan pelancongan Muslim, pameran kesenian Islam, serta promosi membeli belah dan makanan halal.

Berita Harian X