Jumaat, 24 Jun 2022 | 3:23pm
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

UMNO yakin ROS terima keputusan pemilihan selepas PRU

KUALA LUMPUR: UMNO yakin Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) akan menerima keputusan parti itu yang meminda perlembagaannya untuk mengadakan pemilihan parti enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata partinya juga sudah mengemukakan dokumen tambahan diperlukan ROS, antara lain bertujuan memperakui keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khasnya, bulan lalu.

"Kami masih menanti jawapan daripada ROS. Segala dokumen tambahan yang mereka inginkan, sudah kita berikan. Apabila saya bertanya apakah ada lagi dokumen tambahan yang mereka minta, (jawapan ROS) sudah tidak ada, semuanya lengkap.

"Jadi kita menunggu dengan sabar apakah keputusan ROS. Jika kita melihat MCA, pindaannya sama dan pindaan MCA sudah diluluskan ROS. Ini bererti ROS sudah ada duluan keputusan yang tidaklah terlalu sukar untuk mereka membuat keputusan kepada UMNO," katanya selepas Majlis Pelancaran Karnival Kerjaya BN Youth Job Fair di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

PAU Khas UMNO bulan lalu meluluskan usul meminda perlembagaannya iaitu memberi pilihan kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menentukan tarikh pemilihan parti, dengan klausa baharu yang dimasukkan di bawah Fasal 10.16 adalah pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas PRU.

Keputusan pindaan itu kemudian diserahkan kepada ROS untuk disemak dan diteliti, dengan agensi itu mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk menerima atau mengemukakan maklum balas selainnya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, segala syarat diperlukan ROS untuk menerima keputusan PAU Khas itu juga sudah dipenuhi.

Ditanya sama ada keputusan menentukan tarikh pemilihan parti bersandar kepada keputusan ROS kelak, beliau mengakuinya.

"Ini bukan kali pertama ia dimohon parti politik, sebelum ini MCA dan UMNO yang kedua. Jadi, kita berharap ROS memberi pertimbangan positif terhadap segala permohonan.

"Apa juga keputusan yang kita buat (berkenaan pemilihan parti) bergantung kepada keputusan ROS juga, jadi keputusan ROS itu memang ditunggu," katanya.

Berita Harian X