Khamis, 23 Jun 2022 | 7:18pm
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berucap pada majlis perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL di Bukit Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berucap pada majlis perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL di Bukit Tinggi hari ini. - Foto BERNAMA

MOT ada mekanisme tentukan tambang ECRL

BENTONG: Kementerian Pengangkutan (MOT) sudah mempunyai mekanisme sendiri dalam menentukan harga tiket Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi memastikan ia adalah mampu milik.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata mekanisme pengiraan tambang itu adalah di bawah tanggungjawab Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan kaedah pengiraan tambang supaya hampir sama seperti yang dikenakan bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri.

"Tadi Perdana Menteri (ketika berucap) memberi pesanan MOT perlu memastikan kadar tambang ECRL (supaya amat berpatutan).

"Ini bersangkutan dengan beberapa tohmahan dan dakwaan tidak berasas mengatakan harga tiket (ECRL) akan menjadi beratus ringgit. Ini adalah satu tuduhan yang tidak berasas kerana mereka menggunakan metodologi pengiraan sendiri.

"Kita ada mekanisme kita sendiri. Di peringkat APAD kita memang ada kaedah pengiraan. Sebab itu untuk perkhidmatan yang dibekalkan atau diberikan oleh pihak KTMB termasuk ETS, kadar pengiraan adalah berdasarkan per kilometer, jadi akhirnya penjumlahan itu tidak membebankan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Permulaan Pembinaan Terowong Genting ECRL Pahang yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini, hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapannya meminta MOT berbincang dengan pihak berkepentingan bagi merangka kadar tambang perkhidmatan ECRL yang berpatutan.

Beliau berkata, tambang itu seharusnya seperti kadar tambang ETS KTMB yang mesra rakyat.

"Kadar pengiraan tambang ECRL juga tidak akan memasukkan komponen perbelanjaan modal (Capex).

Jika Capex dimasukkan, bermaksud kerajaan perlu meminta balik pulangan yang dibelanjakan dan ia bukan yang ingin dilakukan kerajaan.

"Sebagai contoh, untuk seorang penumpang yang kerap menggunakan MRT, kos sebenarnya RM200, tetapi RM200 ini kita tidak kutip sepenuhnya, sebaliknya kita berikan My50 bermaksud 75 peratus atau RM150 itu ditanggung oleh kerajaan.

"Itu pun kita tidak mengambil kira pelaburan asas untuk membangunkan infrastruktur terbabit. Kalau kita masukkan semua ini ia akan menjadi jumlah yang besar.

"Tidak mungkin RM5, RM6, jadi ini yang saya mahu perbetulkan kepada semua kadar tambang ECRL yang akan ditentukan kelak berdasarkan kepada formula pengiraan oleh APAD," katanya.

Ditanya sama ada kos asal ECRL sebanyak RM51 bilion akan meningkat susulan kelemahan mata wang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), Ka Siong berkata, kerajaan sudah memeterai perjanjian kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) dengan kerajaan China untuk projek ECRL.

"Kedua pihak mengadakan perbincangan sebelum ini dan bersepakat kos projek ini adalah tetap dan kontraktor tertakluk pada perjanjian EPCC untuk menyiapkannya," katanya.

Berita Harian X