Khamis, 23 Jun 2022 | 5:12pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Dua sub-varian baharu Omicron dikesan di Sarawak

KUCHING: Sub-varian baharu Omicron COVID-19 yang sangat mudah merebak, BA.2.12. 1 dan BA.5 kini dikesan di Sarawak.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Dr David Perera, berkata ia dikesan menerusi sampel yang diambil daripada pesakit di Kuching dan Sibu.

Katanya, kali pertama sub varian itu dikesan di Kuching dan Sibu pada hujung Mei lalu dan kemudian terdapat kes tambahan di Kuching bulan ini.

"Sebanyak 1,229 sampel diambil dalam tempoh pengawasan untuk kes positif COVID-19 dari 1 Mac hingga 16 Jun tahun ini dan semuanya dikesan sebagai varian Omicron B.1.1.529 (VOC).

"Bagaimanapun, pada minggu terakhir Mei kami mengesan kejadian pertama BA.2.12.1 yang sangat merebak daripada kes di Kuching dan BA.5 daripada kes di Sibu. Seterusnya satu kes tambahan BA 2.12.1 dan tiga kes BA.5 dikesan di Kuching pada minggu kedua dan ketiga Jun," katanya.

Dr Perera berkata demikian dalam laporannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di sini, hari ini.

Beliau berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini mengumumkan kedua-dua sub-varian itu sebagai sangat mudah merebak dengan kadar penyebaran yang lebih pantas berbanding induk Omicron VOC.

"BA 2.12.1 pertama kali dikesan di Amerika Syarikat terus menjadi pendorong utama jangkitan di negara itu.

"BA.5 pula yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan menyebabkan peningkatan baru-baru ini dalam kes COVID-19 di beberapa negara di seluruh dunia," katanya.

Berikutan perkembangan terbaru itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya peka dengan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak jika mereka belum melakukannya, terutama bagi individu yang mempunyai komorbiditi dan mereka yang berusia 60 tahun ke atas," katanya.

Berita Harian X